Thursday, July 29, 2010

Notis Gangguan Bekalan Air Di Daerah Kluang

Gangguan bekalan air di daerah Kluang akan berlaku pada 3 Ogos 2010, berikutan kerja penyelenggaraan di Loji Air Sembrong Timur, Kluang, mulai jam 9.00 pagi hingga 2.00 pagi.

Kawasan terlibat :
Jalan Johor Tenggara hingga ke SMK Jalan Kota Tinggi
Taman Gunung Lambak
Kg. Dato' Abd. Rahman Yassin
Hospital Baru
Taman Perumahan Rakyat

Pihak SAJ menasihati pengguna agar menyimpan bekalan air secukupnya ketika tempoh itu.

Sebarang masalah, hubungi Pusat Maklumat SAJ di talian bebas tol 1 800 88 7474, sms ke 019-7727474 atau email ke customer.care@saj.com.my

Friday, July 16, 2010

7 Wasiat Raja-Raja Melayu

Wasiat Raja-Raja Melayu dan Pemimpin-pemimpin yang dibuat semasa merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957.

7 perkara itu adalah :

PERTAMA
Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA);

KEDUA
Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

KETIGA
Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar;

KEEMPAT
Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;

KELIMA
Kami isytiharkan ISLAM ialah Agama Persekutuan;

KEENAM
Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU, dan;

KETUJUH
Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN(kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)


7 WASIAT YANG DITERJEMAHKAN DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN - secara ringkas

1. MALAYSIA - Perkara 1 (Nama, Negeri-negeri dan Wilayah-wilayah Persekutuan)

Persekutuan dinamai Malaysia pada 16 September 1963. Negeri-negerinya terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah. Sarawak, Selangor dan Terengganu.

2. TANAH SIMPANAN MELAYU - Perkara 89 (Tanah Rizab Orang Melayu)

Mana-mana tanah di sesuatu negeri yang menjadi tanah rizab orang Melayu sebelum hari merdeka mengikut undang-undang yang ada, maka tanah itu boleh terus-menerus menjadi tanah rizab orang Melayu mengikut undang-undang itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Badan Perundangan Negeri dengan suatu Enakmen.

3. REJIMEN ASKAR MELAYU - Seksyen 16(1) Akta Angkatan Bersenjata 1972

Seksyen tersebut menyatakan, "Mana-mana orang boleh diambil masuk ke dalam angkatan tetap; dengan syarat bahawa hanya orang Melayu boleh diambil ke dalam Askar Melayu Diraja"
Askar Melayu Diraja diilhamkan pada tahun 1902 dan ditubuhkan pada tahun 1932 di bawah Malay Regiment Ordinance. Pasukan pertama Askar Melayu Diraja terdiri daripada 23 orang dan meningkat kepada 2 batalion pada tahun 1941. Askar Melayu Diraja pernah berperang dengan tentera Jepun di Pengkalan Chepa, Kelantan dan di Singapura dalam Perang Dunia Kedua.
Angkatan Tentera Malaysia terdiri daripada tiga perkhidmatan iaitu udara, darat dan laut yang semuanya terbuka kepada semua kaum. Askar Melayu Diraja hanya satu komponen dalam pelbagai bidang ketenteraan dan berperanan mempertahankan negara dari ancaman dan pencerobohan dari luar negara tetapi tidak terlibat dalam ketenteraan awam dan keselamatan dalam negara.

4. RAJA-RAJA MELAYU - Perkara 32 (Kepala Utama Negara Bagi Persekutuan Dan Permaisurinya)

Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelar Yang di-Pertuan Agong yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan. Raja Permaisuri Agong mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh jawatan lima tahun.

5. ISLAM - Perkara 3 (Agama Bagi Persekutuan)

Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Raja / Sultan di setiap negeri ialah Ketua Agama Islam bagi negerinya dan bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan / Raja, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam negeri itu termasuklah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

6. BAHASA MELAYU - Perkara 152 (Bahasa Kebangsaan)

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah Bahasa Melayu. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan selaipun dengan menggunakan dana awam. Pindaan kepada Perkara ini tidak boleh diluluskan dengan tiada perkenan Majlis Raja-Raja.

7. KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU DAN KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN - Perkara 153 (Perizaban Kuota Mengenai Perkhidmatan, Permit Dan Sebagainya Untuk Orang Melayu)

Perlembagaan Persekutuan memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum lain. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan rizab kuota orang Melayu dan Bumiputera dalam perkhidmatan awam, kemudahan pelajaran, permit dan lesen perniagaan.

Tuesday, July 13, 2010

Dilarang menghidupkan penghawa dingin sebaik menaiki kereta

Bukalah tingkap terlebih dahulu sebaik memasuki kereta anda dan jangan sama sekali menghidupkan pendingin hawa. Berpandukan kepada kajian yang dijalankan, dashboard, sofa, pewangi udara menghasilkan Benzene, sejenis toksin yang menyebabkan kanser (carcinogen - ia dapat dikenalpasti melalui bau yang terhasil dari haba bahan plastik di dalam kereta). Disamping menyebabkan kanser, ia juga bertindak sebagai racun bagi tulang, menyebabkan anemia dan mengurangkan sel darah putih. Tindakan ini jika dibiar berlarutan akan menyebabkan Leukemia, meningkatkan risiko menghadapi kanser di samping punca keguguran.


Kadar pendedahan Benzene yang dibenarkan ialah 50 mg bagi setiap kaki persegi. Kereta jika diparkir di kawasan bebumbung dengan tingkap tertutup menghasilkan 400-800 mg Benzene. Jika dibiarkan dikawasan yang terdedah dengan tingkap yang tertutup pada suhu 60 darjah fahrenheit, tahap Benzene boleh meningkkat sehingga 2000-4000 mg, iaitu 40 kali dari tahap yang dibenarkan... dan penumpang di dalamnya akan menyedut toksik yang berlebih2an secara tidak sedar.

Cara yang dicadangkan untuk mengelakkan perkara ini dari berterusan ialah dengan membuka tingkap dan pintu terlebih dahulu untuk memberi udara di dalam beredar keluar. Benzene adalah sejenis toksik yang boleh mencemar buah pinggang dan hati, dan sukar pula bagi tubuh manusia untuk menyahkeluarkan toksik tersebut.

Kemudahan di Pusat Maklumat Rakyat Kluang

Antara kemudahan yang disediakan di pejabat ini:
KAUNTER PMR

.................................................................................

RAK BAHAN PENERBITAN



..................................................................................

BAHAN RUJUKAN UPSR / PMR / SPM

.................................................................................

BAHAN PENERBITAN JABATAN

..................................................................................

RUANG KEMUDAHAN UNTUK PENGUNJUNG





Bahan penerbitan jabatan

Salam sejahtera,

Untuk makluman semua, bahan penerbitan jabatan yang terdapat di Pejabat Pusat Maklumat Rakyat Kluang adalah seperti berikut :

1. Bajet 2010 (buku)
2. Bajet 2010 1Malaysia Kemakmuran Bersama (Pamplet)
3. 1Malaysia (Pamplet)
4. 7 Wasiat Raja-Raja Melayu (Pamplet)
5. Memeta Wawasan Melaksana Amanah (Buku)
6. Sinar Mentari
7. Udhayam
8. Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) (Buku)
9. Sin Xi Wang
10. ASEAN (Buku)

Selain itu, anda juga boleh mendapatkan poster Perdana Menteri dan juga Yang DiPertuan Agong di pejabat ini.

Untuk mendapatkan bahan penerbitan tersebut, boleh datang sendiri ke :
Pejabat Pusat Maklumat Rakyat Kluang,
Aras 2, Bangunan Persekutuan Kluang,
86000 Kluang,
Johor
No. Tel : 07-7713966

Friday, July 9, 2010

Baju kurung warisan budaya

Istimewanya baju kurung adalah kerana ia menampilkan ciri-ciri keayuan dan kesopanan serta menambahkan kelembutan kepada gerak-geri pemakainya.

Dari segi sejarahnya, baju kurung dikatakan mempunyai kaitan dengan pakaian 'djallabiyah' yang berasal dari Mesir di mana ia diertikan sebagai baju longgar. Adalah sukar untuk membuktikan dengan tepat sejak bilakah baju kurung mula dicipta dan dipakai oleh masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, ada yang mengatakan bahawa ia berasal dari Johor, iaitu kira-kira 200 tahun yang lalu semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar di Teluk Belanga, Singapura.

Terdapat beberapa jenis baju kurung, antaranya ialah Baju Kurung Teluk Belanga, Baju Kurung Cekak Musang, Baju Kurung Riau-Pahang dan Baju Kurung Kedah. Sungguhpun pada umumnya kesemua jenis baju kurung mempunyai ciri-ciri persamaan, tetapi terdapat beberapa perbezaan yang ketara baik dari segi pola, potongan dan cara pemakaiannya.

Baju Kurung Teluk Belanga juga lebih dikenali sebagai baju kurung atau baju kurung Johor. Potongannya adalah labuh dan longgar kerana dirusuknya berpesak dan di bawah lengannya pula diletakkan kekek. Potongan lehernya bulat dan berbelah di depan. Pada sekeliling tebukan lubang leher itu, jahitan tulang belut digunakan bagi mengemas dan memperkukuhkan lagi leher baju tersebut. Baju ini dipadankan bersama kain sama ada dari jenis batik, songket atau sutera. Kain ini pula diikat dengan ikatan yang bernama ombak mengalun, iaitu dengan lipatan-lipatan yang letaknya di rusuk kanan atau kiri.

Baju Kurung Cekak Musang adalah sama dnegan baju kurung Teluk Belanga kecuali pada bahagian lehernya. Leher Baju Kurung Cekak Musang ada kolar. Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak. Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang berkancing. Potongan baju ini dipercayai menerima pengaruh dari India dan China.

Baju Kurung Riau Pahang pula menyingkap pertalian sejarah antara kedua negeri Riau dan Pahang. Walaupun Riau dan Pahang adalah dua buah negeri yang berjauhan, perhubungan politik dan sosio budaya yang terjalin sewaktu zaman kerajaan Melayu Melaka terserlah dengan terciptanya potongan pakaian ini yang juga dikenali sebagai Baju Belah atau Baju Kebaya Turki. Berbeza dengan pesak baju kurung, kedua-dua bahagian tepi Baju Kurung Riau Pahang berpesak kembang yang disambungkan kekek gantung. Baju berkolar tinggi ini amat menarik sekali dipakai dengan tujuh atau sembilan butir butang.

Manakala Baju Kurung Kedah pula dikatakan mempunyai pengaruh dari Siam. Ini kerana potongan baju ini hampir menyerupai blaus pendek Siam yang agak singkat dari baju kurung biasa. Baju kurung Kedah selalunya diperbuat daripada kain kapas yang berbunga kecil ataupun kain nipis yang jarang dan keras. Baju ini dipadankan dengan kain batik sarung atau pelikat yang dilipat ke depan dengan motif kepalanya di hadapan.

Selaras dengan peredaran zaman, kini pelbagai busana rekaan moden telah muncul dan diterima oleh masyarakat Melayu. Sungguhpun pada umumnya kita telah menerima pengaruh moden dalam pakaian harian, namun baju kurung tetap menjadi pilihan kaum wanita untuk digayakan. Bezanya, rekaan baju kurung sekarang lebih kontemporari tetapi masih mengekalkan ciri-ciri keasliannya.

Selain terdapat perubahan pada potongan dan bentuknya, untuk menghasilkan rekaan yang lebih moden dan kreatif, baju kurung juga dihiasi dengan sulaman, kerawang, manik mahupun labuci. Material untuk menghasilkan baju kurung juga turut berubah. Kini, terdapat pelbagai pilihan material antaranya satin, organza, chiffon, sutera, batik, linen dan banyak lagi. Perubahan ini dilakukan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa atau majlis yang hendak dihadiri selain cuba meniru gaya potongan asing yang mungkin bertujuan untuk kelihatan lebih anggun. Kini terdapat pelbagai variasi baju kurung, dan ia dikenali sebagai Baju Kurung Moden.

Walaupun baju kurung telah mengalami evolusi selaras dengan perubahan masa dan citarasa pemakai, namun rekaannya masih sama. Ia tetap selesa dan manis dipakai selain menampakkan kesopanan gadis Timur dan keunggulan budaya Melayu.