Showing posts with label Johor. Show all posts
Showing posts with label Johor. Show all posts

Wednesday, November 25, 2009

Lima Klinik 1Malaysia akan dibina di tiga daerah

NUSAJAYA 24 Nov. - Kerajaan negeri akan membina lima Klinik 1Malaysia di tiga lokasi berbeza iaitu Johor Bahru, Kulaijaya dan Kluang.
.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, tiga klinik 1Malaysia dibina di Johor Bahru iaitu di Rumah Pangsa Stulang, Rumah Pangsa Bandar Seri Alam dan Taman Megah Ria, Masai dekat sini.
.
Beliau berkata, dua lagi akan dibina di lot rumah kedai Taman Senai Utama, Kulaijaya dan Rumah Kedai Taman Seri Lambak, Kluang.
.
"Kawasan ini dipilih kerana kebanyakan penduduk memiliki pendapatan sederhana dan jarak dari klinik kesihatan sedia ada berada dalam lingkungan 10 kilometer.
.
"Penduduk di kawasan ini juga berbilang kaum sesuai dengan slogan 1Malaysia," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Baderi Dusuki (BN-Panti) mengenai lokasi serta perkhidmatan yang disediakan di Klinik 1Malaysia.
.
Robia berkata, Klinik 1Malaysia itu dijangka mula beroperasi pada Januari dan Februari depan.
Beliau berkata, klinik tersebut akan beroperasi selama lima hari seminggu bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
.
"Klinik ini menyediakan perkhidmatan perubatan ringan kepada penduduk di kawasan bandar sesuai gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
.
"Secara tidak langsung ia dijangka membantu mengurangkan kesesakan di klinik kesihatan sedia ada dan akses masyarakat untuk mendapatkan rawatan ringan terutama di kawasan bandar dapat dipertingkatkan," katanya.
.
Beliau berkata, Klinik 1Malaysia menyediakan perkhidmatan meliputi rawatan ringan, susulan kes penyakit kronik, prosedur rawatan ringan dan khidmat nasihat.
.
Beliau berkata, skop perkhidmatan itu dikendalikan oleh penolong pegawai perubatan dan jururawat terlatih.

Thursday, November 19, 2009

Johor beri potongan bil air

Syarikat Air Johor (SAJ) akan memperkenalkan skim pemberian rebat air kepada keluarga miskin tegar dan miskin bagi meringankan beban golongan berkenaan, kata Menteri Besar Johor.Datuk Abdul Ghani Othman berkata golongan miskin tegar itu akan menerima rebat bil air sehingga 20 meter padu pertama atau RM12 manakala keluarga miskin pula akan menerima rebat sehingga 10 meter padu pertama atau RM4.
.
"Pemberian rebat itu untuk meningkatkan bantuan jaringan keselamatan sosial bagi meringankan beban golongan sasaran seperti keluarga miskin dan miskin tegar termasuk kumpulan Orang Asli miskin tegar," katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2010 pada persidangan DUN di Nusajaya hari ini.
.
Abdul Ghani berkata sebanyak 9,596 keluarga di negeri ini adalah keluarga miskin, miskin tegar dan mudah miskin yang dikenal pasti sehingga kini melalui pangkalan Data Nasional, E-Kasih.Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 4,049 keluarga adalah ketua isi rumah miskin dan miskin tegar yang menjadi kumpulan sasaran utama kerajaan negeri dalam mencapai matlamat membasmi kemiskinan tegar sepenuhnya dan mengurangkan separuh kemiskinan menjelang akhir tahun depan.
.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga bercadang untuk memberi perlindungan takaful bernilai RM30,000 seorang kepada 2,975 anggota penjawat awam negeri yang memegang jawatan berisiko tinggi."Insentif ini dicadangkan memandangkan kerajaan negeri prihatin kepada risiko yang dihadapi oleh penjawat awam seperti pembantu penguatkuasa, pemandu, penghantar notis, pegawai keselamatan dan pekerja awam yang lain," katanya. BERNAMA