Wednesday, August 19, 2009

Siri Tokoh Kebangsaan - Datuk Bentara Luar Johor

Dato' Bentara Luar iaitu Dato' Muhamad Salleh bin Perang berjaya memulakan usaha bagi membangunkan dan membuka Batu Pahat yang dikenali sebagai Pulau Kundur dan Sungai Batu Pahat dikenali sebagai Sungai Kundur. Ianya merupakan petempatan kecil yang berasingan yang dibuka oleh orang-orang kenaman dan orang-orang besar seperti penghulu dan ketua-ketua kampung. Beliau juga merupakan bapa pembangunan bagi negeri Johor berdasarkan usaha-usaha yang dilakukan oleh beliau. Pada tahun 1893, barulah Dato' Bentara Luar berjaya memulakan usaha bagi membangunkan Bandar Batu Pahat di kawasan Simpang Kanan, kira-kira tujuh batu dari kuala sungai Batu Pahat. Pada 4hb. November 1893, Dato' Muhamad Salleh yang pada masa itu diam di Kampung Senangar, dipanggil ke Johor Bahru. Pada 11hb. November 1893 dimana Sultan Abu Bakar telah bertitah kepada beliau untuk membuka Batu Pahat. Dato' Bentara Luar amat mementingkan tanggungjawab belaiau dalam memajukan Batu Pahat iaitu dengan menyediakan kemudahan jalan.
Pembukaan rasmi Batu Pahat telah dilakukan pada 1hb. Januari 1894 oleh Dato' Muhamad Salleh bin Perang sendiri dan telah dihadiri oleh Orang-orang Kaya, Penghulu-penghulu dan orang-orang kenamaan tempatan. Pejabat-pejabat kerajaan juga telah diwujudkan dan disusun dengan teratur. Sistem pentadbiran moden digantikan dengan sistem tradisional dengan pegawai-pegawai tadbir yang tertentu. Batu Pahat mula berkembang maju di mana Dato' Muhamad Salleh bin Perang yang menjadi wakil Raja memerintah Batu Pahat, kemudiannya menjadi Pesuruhjaya Kerajaan dan telah memainkan peranan yang amat aktif. Orang-orang kampung digalakkan dan digesa membuka kebun untuk bercucuk tanam dan membuat parit tali air dan dalam masa yang sama pemodal-pemodal asing mula datang membuka kebun, ladang serta berniaga di Batu Pahat.
Kebolehan Dato' Bentara Luar berbahasa Cina merupakan faktor menyebabkan beliau pada umumnya disukai oleh orang Cina dan faktor yang membawa kepada kemajuan ekonomi dan harmoni di daerah ini. Pentadbiran Batu Pahat di bawah pimpinan Dato' Bentara Luar berjalan lancar dan mengagumkan, ini dinyatakan oleh Ungku Sulaiman bin Daud, Pesuruhjaya Besar Johor (General Commisioner) dalam rangka lawatan tugasnya di Batu Pahat pada 21hb. hingga 24hb. Disember 1896.
Zaman Dato' Bentara Luar berakhir pada pertengahan tahun 1911 apabila Ungku Ahmad bin Ungku Muhamad Khalid dilantik menjadi Pesuruhjaya Kerajaan Batu Pahat menggantikan Dato' Bentara Luar. Batu Pahat mengalami zaman baru bila menjelma pula sistem pentadbiran yang seiringan dalam mana Pesuruhjaya Kerajaan Daerah berpadu dengan Penolong Penasihat berbangsa Inggeris untuk menjalankan pentadbiran. Kini Batu Pahat terus membangun dan muncul sebagai salah satu daerah yang termaju di negeri Johor Darul Takzim dan mempunyai potensi yang besar untuk terus maju pada masa hadapan.

Siri Tokoh Kebangsaan - Dato' Bahaman

Nama sebenar Dato' Bahaman adalah Abdul Rahman. Ayahnya bernama Tuanku Imam Nuh berasal dari Bangkinang. Ibunya adalah Rokiah Abdul Rahman, anak Tok Setia Perkasa Semantan yang berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan. Beliau juga lebih dikenali sebagai Seman adalah seorang yang pandai bersilat dan juga mempunyai ilmu kebal . Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu. Nama 'Seman Tahan' semakin hari semakin masyhur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu sehinggakan sungai itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British. Perang Semantan ini dipimpin oleh seseorang pembesar bernama Dato' Bahaman . Punca utama pemberontakan ini ialah rasa tidak puas hati orang-orang Besar Pahang , terutamanya sekali Dato' Bahaman (Orang Kaya Semantan) terhadap campur tangan British ke atas kawasannya .
Sebenarnya ketegangan di antara Dato' Bahaman dengan pihak British telah bermula sejak tahun 1890 lagi tetapi ketegangan itu memuncak pada tahun 1891. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 bilamana Dato' Bahaman dikatakan telah marah dan mengata-ngata E.A Wise (Pegawai Jajahan Temerloh) kerana E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua iaitu satu tempat yang termasuk dalam kawasan Dato' Bahaman , tanpa terlebih dahulu berunding dengannya . Apabila Hugh Clifford ( Pemangku Residen British Pahang ketika itu ) mengetahui hal tersebut , beliau telah menasihatkan Sultan dan baginda kemudiannya memanggil Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat . Oleh kerana Dato' Bahaman enggan ke Pekan , Sultan telah mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan .
Tindakan melucutkan pangkat dan taraf itu menyakitkan hati Dato' Bahaman . Keadaan ini menyebabkan Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough dan pengikut-pengikutnya pada 15 Disember 1891 ketika mereka sedang mudik Sungai Semantan. Serangan itu dilakukan oleh Dato' Bahaman kerana ia menyangka Desborough datang untuk menangkapnya Dalam serangan yang mengejut itu , pihak Desborough telah kalah dan beliau melarikan diri ke Bandar Temerloh . Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu , pegawai-pegawai British di seluruuh Pahang mula sibuk mengatur tentera mereka untuk melawan orang-orang Melayu yang menentang British .Ekoran dari itu , pada 21 Disember 1891 , satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud telah pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman . Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi mengalami kekalahan.

Tuesday, August 18, 2009

Tahukah anda?

Bunga Raya atau Hibiscus Rosa dipilih sebagai bunga kebangsaan pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri ketika itu YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Pemilihan tersebut adalah berdasarkan kepada keunikan bunganya yang merah di mana ia melambangkan keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian menempuh cabaran.
Pada tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mengemukakan tujuh jenis bunga untuk pemilihan iaitu ; bunga kenanga, bunga raya, bunga melur, bunga teratai, bunga mawar, bunga cempaka dan bunga tanjung.

Erti Kemerdekaan...

"...Merdeka bukanlah suatu benda yang mudah boleh didapati, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu iaitu pengorbanan yang sebenar pengorbanan..."

(Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia 1957 - 1970)
....................................................................

"...Hari Merdeka ialah Hari Kebangsaan kita. Marilah kita membanggakan negara kita dan sentiasa berjaga-jaga supaya tidak dipengaruhi oleh fahaman kebangsaan yang sempit. Jika fahaman kebangsaan yang sempit itu dibiarkan hidup dengan perasaan yang meluap-luap maka sifat bertolak ansur dan tali persahabatan kita dengan negeri-negeri lain yang bebas akan terkecewa. Dengan demikian terganggulah keamanan dan ketenteraman dunia."

(Tun Abdul Razak Dato' Hussein, Perdana Menteri Malaysia 1970 - 1976)
....................................................................

"Masa depan ekonomi negara tidak akan membawa apa-apa makna jika keselamatan tidak terjamin, keselamatan adalah teras keutuhan ekonomi dan kestabilan politik."

(Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia 1976 - 1981)
....................................................................

"...Bukan kecil tugas kita meneruskan perjuangan kemerdekaan kita kerana rupanya selain memerdekakan, mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara..."

"Kita perlu mendisiplinkan diri kita dan meneruskan perjuangan kita untuk menjamin kebahagiaan negara. Kita mesti giat serta kemampuan untuk menjadikan diri kita sebagai rakyat yang cintakan negara dengan segala pengorbanan dicurahkan bagi kebahagiaan negara dan masa depannya. Biarlah setiap Hari Kebangsaan kita mencatit kejayaan yang boleh dibanggakan terhadap Malaysia yang kita sayangi ini."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia 1981 - 2003)
...................................................................

"Mungkin untuk kebanyakan daripada kita, adalah sukar untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan memandangkan lebih 75 peratus daripada rakyat Malaysia lahir selepas 31 Ogos 1957. Kerana itu, adalah hampir mustahil untuk anda membayangkan pahit getirnya hidup dijajah dan bagaimana jerih payahnya usaha generasi terdahulu untuk mendapatkan kemerdekaan. Justeru, marilah kita bersama-sama menilai erti kemerdekaan dengan cara yang berbeza, supaya kita dapat menghayati nilai kebebasan yang dikecapi."

(Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia 2003 - 2009)

Influenza A (H1N1)

Menurut sumber dari Malaysiakini, angka kematian disebabkan H1N1 sehingga ke petang semalam (17 Ogos 2009) sudah menjangkau angka 64 orang - satu perkara yang membimbangkan rakyat Malaysia khususnya.
.
Langkah-langkah pencegahan perlu diambil dengan segera, dan berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil bagi mencegah daripada dijangkiti Influenza A (H1N1) :
.
1. Tangguhkan lawatan ke negara-negara yang dilanda wabak H1N1
2. Jika lawatan itu tidak dapat dielakkan, kenal pasti kawasan wabak yang mengalami kes H1N1 yang tinggi
3. Elak melawat tempat-tempat yang sesak
4. Elak bersentuhan dengan pesakit positif H1N1. Jika terpaksa berdampingan dengan pesakit, gunakan alat perlindungan pernafasan yang sesuai.
5. Jaga kebersihan diri sepanjang masa dengan kerap basuh tangan dengan air dan sabun terutamanya selepas bersin atau batuk
6. Gunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Buang tisu dalam tong sampah
7. Jika jatuh sakit atau mempunyai gejala demam, batuk, sesak nafas, sakit tekak, sakit kepala dan sakit badan, segera dapatkan rawatan doktor
8. Maklum kepada doktor yang merawat jika baru pulang dari negara atau kawasan yang dilanda H1N1
9. Individu yang disahkan positif H1N1 termasuk bersentuhan kepada pesakit perlu melaksanakan tindakan kuarantin tujuh hari
10. Ibu bapa atau penjaga perlu memastikan anak-anak yang mempunyai gejala penyakit serupa Influenza (ILI) supaya tidak hadir ke sekolah
11. Mereka yang mengalami simptom ILI dinasihatkan melaksanakan pengasingan sosial dengan tidak menghadiri majlis-majlis terbuka
12. Orang ramai yang mempunyai tanda-tanda demam, selsema, batuk, sakit tekak dinasihatkan sentiasa memakai penutup mulut ketika berada di tempat awam

Monday, August 17, 2009

UNGKAPAN PERDANA

"Orang Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum yang hendak menumpukan taat setia dan tinggal bersama serta menumpu dan menumpahkan darah serta bekerja membanting tulang di negeri ini, tinggallah dengan baik antara satu dengan lain kerana negeri ini adalah berlainan dengan mana-mana negeri yang ada di dunia ini"
Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj
..........................................................................
"Rakyat negara yang berbilang kaum yang sebahagian besarnya golongan belia merupakan kekayaan tenaga manusia yang mana kalau digembleng dalam satu barisan yang bersatu padu membolehkan kita mencapai cita-cita nasional dengan sepenuhnya"
Tun Abdul Razak Dato'Hussein
..........................................................................


"Adalah tidak mustahil pendapat dan fahaman kita sentiasa tidak berbeza. Apa yang penting ialah pendapat dan fahaman yang berbeza itu tidak diperbesar-besarkan sehingga membawa pecah belah di kalangan rakyat berbilang keturunan"
Tun Hussein Dato'Onn
..........................................................................

"Persefahaman dan hubungan baik ini hanya akan dapat dicapai jika kita semua iaitu semua kaum di Malaysia bersifat sederhana dan sanggup bercampur gaul semasa bekerja, bermain dan dalam aktiviti sosial kita"
Tun Dr. Mahathir Mohamad
........................................................................

"Amatlah rugi kepada negara bangsa jika kita terlalu taksub untuk berselisih. Bangsa perlu satu kekuatan sejati. Orang Melayu begitu juga warga Malaysia keseluruhannya telah berada di pelantar yang lebih tinggi dari dahulu"
Tun Abdullah Ahmad Badawi
........................................................................

"Saya yakin dengan semangat bersatu, kita mampu berpendapat dengan persekitaran yang sukar dan mencabar ini, seperti yang pernah kita lalui bersama dalam beberapa krisis terdahulu"
Dato'Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak

SEMARAK MERDEKA JALUR GEMILANG PERINGKAT DAERAH KLUANG- Bhgn. 1

Sempena menyambut bulan kemerdekaan negara yang ke-52, Jabatan Penerangan Daerah Kluang dengan kerjasama Komuniti Bestari dan Jawatankuasa Penduduk Kg. Sri Lalang, Mukim Kluang telah menganjurkan program Semarak Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kluang bertempat di Dewan MCA Sri Lalang, Kluang.

Antara pengisian dalam program tersebut adalah pertandingan mewarna oleh kanak-kanak tadika, larian singkat Jalur Gemilang di sekitar pekan Sri Lalang ke Dewan MCA Sri Lalang, nyanyian lagu-lagu patriotik, persembahan kebudayaan, deklamasi sajak, kuiz kenegaraan dan seterusnya majlis perasmian yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia En. Mohamed Iqbal bin Ibrahim, Penolong Pengarah Cawangan KPK, Jabatan Penerangan Negeri Johor.

PPD Kluang, En. Abd. Razak dan Ketua PMR Kluang, Rn. Koh Peng Wong bergambar bersama JAV, En. Aun dan peserta Semarak Merdeka di hadapan Dewan MCA Sri Lalang

Perarakan singkat di sekitar Pekan Sri Lalang dengan pembawa Jalur Gemilang yang terdiri dari 3 bangsa - Melayu, Cina dan India

Perarakan sambil mengibar Jalur Gemilang

Peserta konvoi bermotosikal yang turut sama dalam Larian Singkat Jalur Gemilang

Nyanyian lagu patriotik oleh kanak-kanak tadika

Nyanyian lagu patriotik dengan penuh semangat dari peserta yang hadir

Barisan anggota pertahanan yang turut sama memeriahkan program - RELA dan Polis DiRaja Malaysia

Nyanyian lagu patriotik.
Antara VIP yang hadir - En. Abd. Razak (PPD Kluang), En. Mohamed Iqbal (Pen. Pengarah), En. Afandi (Penghulu Kanan) dan En. Wong Fook Onn (Pengerusi Persatuan Penduduk Kg. Sri Lalang)

Antara yang hadir

Semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh penduduk berbilang bangsa
pertandingan mewarna yang disertai oleh kanak-kanak tadika