Wednesday, August 26, 2009

Prinsip Kelima Rukun Negara - Kesopanan dan Kesusilaan

Huraian ringkas :
Prinsip ini memberi penekanan kepada peri pentingnya personaliti dan tingkah laku seseorang dalam menggambarkan kebudayaan negara ini. Sifat sopan santun dan tatasusila adalah penting dalam konteks perhubungan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia.
Bahasa yang lembut dan tingkah laku yang sopan dapat menjamin hubungan yang harmoni dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Pembentukan individu yang berdisiplin dan bermoral tinggi hasil didikan yang berhemah dapat menjamin kewujudan sebuah masyarakat yang saling berinteraksi dalam suasana bersatu padu dan aman.

Prinsip Keempat Rukun Negara - Kedaulatan Undang-Undang

Huraian ringkas :
Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi dalam negara Malaysia. Ketaatan kepada undang-undang negara banyak dibantu oleh pihak yang berkuasa seperti polis, penjara dan institusi kehakiman (mahkamah) yang bebas dan berwibawa.
Kepatuhan kepada undang-undang mampu menjamin keharmonian masyarakat dan keselamatan negara juga lebih terjamin. Oleh itu, setiap anggota masyarakat hendaklah patuh kepada undang-undang yang telah digubal supaya keamanan negara tercapai seterusnya usaha-usaha pembangunan dapat dijalankan dengan lebih lancar. Kebebasan rakyat untuk menyuarakan buah fikiran masih tertakluk kepada beberapa perundangan tertentu bagi menjamin keamanan.

Prinsip Ketiga Rukun Negara - Keluhuran Perlembagaan

Huraian ringkas :
Perlembagaan Negara memberi perlindungan kepada setiap anggota masyarakat negara ini dari segi melindungi hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Perlembagaan juga meletakkan tanggungjawab-tanggungjawab dan kewajipan-kewajipan warganegara yang mendukungnya.
Sejajar dengan itu, setiap warganegara harus menghormati, menghargai serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang penggubalannya bagi memastikan Malaysia terus aman, makmur dan maju dalam segenap bidang.
Oleh sebab Perlembagaan Negara digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan pihak di negara ini, maka ia merupakan kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Perlembagaan Negara juga merupakan sumber rujukan kepada semua perkara yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat Malaysia.

Monday, August 24, 2009

Prinsip Kedua Rukun Negara - Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara

Huraian ringkas :

Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua. Sistem Beraja juga diamalkan di setiap negeri dan Yang DiPertuan Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja.
Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat, setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpahkan taat setia mereka kepada raja yang memerintah negeri tersebut tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang DiPertuan Agong.
Kesetiaan adalah jiwa kebangsaan kita. Kesetiaan dari sanubari kepada raja dan tanah air ini mampu menyatukan kita semua dari pelbagai rumpun menjadi satu bangsa yang bersatu padu.

Prinsip Pertama Rukun Negara - Kepercayaan Kepada Tuhan

Huraian ringkas :
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Sesungguhnya dengan nama Tuhanlah bangsa dan Negara ini wujud sebagai sebuah bangsa dan Negara yang berdaulat. Islam adalah agama Persekutuan. Agama-agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram. Tindakan membeza-bezakan seseorang atas alasan agama adalah dilarang.

Ungkapan Bestari

Kalau hendak beroleh kemerdekaan fikiran, hendaklah biasakan hidup melarat, sengsara dan tidak terpengaruh oleh hiasan dunia. Tetapi kalau engkau hendak mencapai kemerdekaan untuk diri sendiri dan bangsamu, hendaklah engkau biasakan bersikap tabah menempuh perjuangan.

Friday, August 21, 2009

Semarak Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kluang - Bhgn. 2

Majlis Perasmian Semarak Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kluang Tahun 2009 diadakan sebaik sahaja peserta selesai menyanyikan 4 lagu patriotik : Negaraku, Satu Malaysia, Jalur Gemilang dan Malaysiaku Gemilang.
Antara pengisian sepanjang majlis perasmian berlangsung :
Tarian zapin yang cukup sinonim dengan masyarakat Johor

Persembahan taichi oleh kaum Cina. Menariknya, ia juga disertai oleh seorang peserta berbangsa Melayu

Persembahan kebudayaan masyarakat India

Deklamasi sajak - diwakili oleh ketiga-tiga kaum Melayu, Cina dan India

Segmen kuiz kenegaraan - dikendalikan oleh En. Aun

Juruacara bertugas - En. Abas

JAV bertugas - En. Ruhaizad



Antara yang memeriahkan sambutan

Ucapan penuh bersemangat oleh PPD Kluang, En. Abd. Razak

Ucapan oleh En. Wong Fook Onn, Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Lalang

Ucapan Perasmian oleh En. Mohamed Iqbal, Penolong Pengarah KPK

Penyampaian Jalur Gemilang kepada Ketua Masyarakat

Penyampaian hamper kepada pemenang cabutan bertuah


Sambutan yang diberikan oleh penduduk-penduduk Kg. Sri Lalang sememangnya amat menggalakkan, yang mana penduduk berbilang bangsa (Melayu, Cina dan India) tanpa mengira usia turut sama memeriahkan program Semarak Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kluang Tahun 2009.

Syabas dan terima kasih diucapkan kepada penduduk-penduduk Kg. Sri Lalang !