Tuesday, February 23, 2010

Sambutan Maulidur Rasul Komuniti Bestari Mukim Machap, Simpang Renggam

Komuniti Bestari Mukim Machap, Simpang Renggam akan mengadakan majlis Sivik Rohani Maulidur Rasul seperti ketetapan berikut :
Tarikh : 27hb. Februari 2010 (Sabtu)
Masa : 7.30 malam
Tempat : Masjid Kg. Seri Machap
Antara pengisian majlis ialah :
  • Selawat dan marhaban
  • CeramahaPerpaduan Ummah 1Malaysia oleh Pegawai Penerangan Daerah, Yang Berbahagia En. Abdul Razak bin Mohamad

Sambutan Maulidur Rasul S.A.W Peringkat Daerah Kluang

Majlis sambutan Maulidur Rasul S.A.W Peringkat Daerah Kluang Tahun 1431H / 2010M akan diadakan mengikut ketetapan berikut :

Tarikh : 26hb. Februari 2010 (Jumaat) bersamaan 12 Rabiul Awal 1431H
Tempat : Padang Sekolah Kebangsaan Lelaki Bandar Kluang
Masa : bermula jam 8.00 pagi

Antara pengisian majlis :
  • Bacaan selawat oleh Kumpulan Pembaca Selawat dari Pejabat Pendidikan Agama Daerah Kluang
  • Bacaan Al-Quran dan Terjemahan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Aziz bin Mustakim dan Ustaz Khairul Nizam bin Sujud
  • Ucapan Perasmian oleh Yang Berbahagia Tuan Pegawai Daerah Kluang
  • Persembahan nasyid oleh Kum[pulan Nasyid SAJ dan PGA
  • Ceramah Maulidur Rasul oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Murshid bin Maarof, Peguam Syarie Negeri Johor

Pengumuman

Jabatan Bantuan Guaman Negeri Johor akan mengadakan Klinik Khidmat Guaman dan Undang-undang secara percuma kepada para penduduk di sekitar daerah Kluang seperti ketetapan berikut :

Tarikh : 24hb. Februari 2010
Tempat : Pusat Maklumat Rakyat Kluang, Aras 2, Bangunan Persekutuan Kluang
Masa : 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari

Thursday, January 7, 2010

BH : Peniaga ayam degil

RUANG penyembelihan ayam yang sempit dan tidak teratur di Pasar Awam Kluang.
.
Notis peringatan arahan pindah kawasan sembelih dan bersih tak dihirau
.
KLUANG: Sikap degil kira-kira 30 peniaga ayam di Pasar Awam Kluang di sini yang masih enggan menghenti serta memindahkan aktiviti penyembelihan dan pembersihan ayam di kawasan berkenaan terus menimbulkan tanda tanya walaupun dua notis peringatan sudah diberikan Majlis Perbandaran Kluang (MPK), selain kompaun RM500 seorang dikenakan terhadap mereka.
.
Arahan memindahkan operasi penyembelihan dan pembersihan ayam di pasar berkenaan sudah dikeluarkan secara rasmi sejak Julai lalu yang memberikan tempoh sehingga September 2009 bagi mereka berbuat demikian.
.
Ia menjadikan Pasar Awam Kluang sebagai satu-satunya pasar awam di negeri ini yang masih belum memindahkan pusat penyembelihan dan pembersihan ayamnya selaras arahan dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang tidak membenarkan lagi ia berada dalam pasar atau kawasan bandar. Arahan itu dibuat selepas pertemuan peniaga dengan MPK disusuli dua notis peringatan masing-masing dikeluarkan pada September dan November dan terakhir, kompaun RM500 dikeluarkan MPK pada 24 Disember lalu.
.
Kedegilan peniaga memindahkan pusat penyembelihan dan pembersihan ayam di Pasar Awam Kluang itu menyebabkan penduduk sekitar terutama di Kampung Melayu terpaksa menghidu bau busuk, selain masalah lalat disebabkan air sisa buangan pemprosesan ayam termasuk darah disalurkan terus ke Sungai Mengkibol yang terletak berhampiran rumah mereka.


TEMPAT membersihkan ayam yang kotor dan berbau.
.
Tidak tahan dengan keadaan tidak menyenangkan itu termasuk pencemaran di Sungai Mengkibol, penduduk mengemukakan aduan kepada MPK Julai lalu, tetapi peniaga masih enggan berpindah sebaliknya mengemukakan rayuan. Bagaimanapun, bagi menyelesaikan segera kemelut yang berlanjutan sekian lama itu, empat Ahli Majlis MPK iaitu Sakina Bi Mohd Sadique, Chye Kwee Yeow, Peng Kim Keok dan Sin Geok Ping; wakil MPK serta peniaga berkenaan yang juga ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kluang, mengadakan dialog baru-baru ini.
.
Dalam sesi dialog hampir dua jam itu, peniaga ayam diketuai Gan Cheong Chiam yang juga Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kluang, memberikan alasan keengganan mereka berpindah disebabkan peniaga tidak mampu mewujudkan pusat penyembelihan dan pembersihan ayam di luar kawasan pasar akibat faktor kos tinggi. "Peniaga bukan tidak mahu berpindah tetapi kami sebenarnya tidak mampu. Ini kerana kos tinggi diperlukan bagi mewujudkan pusat itu jauh daripada kawasan pasar dan bandar, sedangkan peniaga hanya menjual tidak lebih daripada 100 ayam sehari.
.
"Kami tiada masalah berpindah jika MPK menyediakan peruntukan bagi mewujudkan pusat penyembelihan seperti diarahkan. Kami juga memohon supaya kompaun RM500 yang dikeluarkan dibatalkan dan berjanji akan mencapai kata sepakat dalam hal ini," katanya.
.
Ketua Bahagian Kawalan Perniagaan dan Pelesenan MPK, Mohd Hisham Mulyoto, pula berkata, arahan pemindahan itu termaktub dalam pekeliling dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, masing-masing pada 2004 dan 2006. Beliau berkata, ia bertujuan mengelakkan pencemaran dan penularan wabak penyakit seperti selsema burung daripada merebak.
.
"Itu arahan kerajaan dan kami sebagai ejen pelaksana perlu menguatkuasakannya, malah aduan sudah dibuat orang awam. Kami juga sudah memberi banyak masa kepada peniaga untuk berpindah,” katanya. "Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai peruntukan untuk mewujudkan pusat penyembelihan seperti dipohon peniaga. Jadi, MPK mencadangkan supaya satu konsortium bersama ditubuhkan bagi mewujudkan pusat itu yang boleh dikongsi bersama bagi menjimatkan kos peniaga," katanya.
.
Mohd Hisham berkata, walaupun hasil dialog berkenaan tidak mencapai keputusan diharapkan, beliau akan membawa hasil perbincangan itu ke mesyuarat Ahli Majlis MPK bagi mendapatkan keputusan akhir menyelesaikan isu berkenaan.

Wednesday, January 6, 2010

Wujudkan konsortium pusat penyembelihan ayam

KLUANG 5 Jan. - Para pengusaha gerai ayam di Pasar Awam di sini disaran mewujudkan konsortium pusat penyembelihan di tapak yang sesuai dan berjauhan dari pasar berkenaan.
.
Ketua Bahagian Pelesenan Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Mohd. Hisham Mulyoto berkata, langkah itu selaras dengan arahan kerajaan Pusat yang melarang pengusaha gerai ayam melakukan aktiviti penyembelihan dan pemprosesan di kawasan pasar awam.
Pekerja memproses ayam yang disembelih di sebuah gerai di Pasar Awam, Kluang, kelmarin.
.
Menurutnya, ketiadaan aktiviti tersebut akan dapat meningkatkan lagi tahap kebersihan di kawasan pasar selain menghindarkan penularan wabak termasuk selesema burung.
.
''Sudah sampai masanya para pengusaha perlu bersatu dan mewujudkan sebuah konsortium pusat penyembelihan yang terletak berjauhan dari pasar demi kepentingan bersama," katanya pada perjumpaan dengan 30 pengusaha gerai ayam berkenaan di sini semalam.
.
Perjumpaan itu diadakan ekoran kegagalan mereka mematuhi arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dikeluarkan pada April 2006 agar menghentikan aktiviti penyembelihan dan pemerosesan ayam di pasar tersebut.

Akibat kegagalan itu, setiap pengusaha telah dikenakan kompaun RM500 oleh MPK pada 24 Disember tahun lalu selepas beberapa arahan yang dikeluarkan sejak 7 Julai tahun berkenaan tidak dipatuhi.
.
Turut hadir pada perjumpaan lebih dua jam itu ialah beberapa Ahli Majlis MPK termasuk Sakina Bi Mohamed Sadique dan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kluang, Gan Cheong Chiam.
.
Mohd. Hisham berkata, sejak aktiviti penyembelihan dan pemerosesan ayam bermula di pasar itu pada 1991, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk sekeliling mengenai pencemaran udara dan air di Sungai Mengkibol.
.
''Jabatan Alam Sekitar (JAS) sendiri mengesahkan pencemaran air sungai berkenaan berpunca daripada aktiviti yang dilakukan pengusaha terbabit'' katanya.
.
Beliau menolak saranan pengusaha agar MPK menyediakan peruntukan khas dan tanah untuk membina pusat penyembelihan dan pemerosesan tersebut.
.
''Setahu saya setakat ini tiada sebarang peruntukan dikeluarkan kerajaan bagi mendirikan pusat tersebut kecuali pembinaan pasar awam," katanya.
.
Sementara itu, menurut Mohd. Hisham, beliau akan mengemukakan rayuan kepada Yang Dipertua MPK, Abdul Rahman Dewam mengenai permintaan mereka agar MPK dapat membatalkan kompaun yang dikeluarkan dan melanjutkan lagi tempoh menghentikan aktiviti tersebut.

Tuesday, January 5, 2010

Jawatan Kosong : Bahagian Pembangunan Sumber Manusia

Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia telah mengiklan jawatan kosong seperti mana di bawah:
Nama Jawatan: Pegawai Psikologi
Jabatan: Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
Klasifikasi: Perkhidmatan Sosial
Kumpulan Perkhidmatan: Pengurusan dan Professional
Taraf Jawatan: Kontrak
Tarikh Tutup Permohonan: 21 Januari 2010

Tuesday, December 22, 2009

Utamakan penjagaan alam sekitar, kesihatan

KLUANG 21 Dis. - Rakyat perlu mengutamakan penjagaan alam sekitar dan kesihatan bagi memastikan mereka dan generasi akan datang dapat hidup lebih sejahtera.
.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R. Vidyananthan berkata, ini kerana kedua-dua aspek itu saling berkait dan tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan harian manusia.
.
Menurutnya, alam sekitar yang kurang bersih akan menyebabkan wujud pelbagai penyakit, sekali gus menjejaskan kesihatan manusia.
.
"Oleh itu, semua pihak termasuk rakyat dan jabatan kerajaan perlu memberikan keutamaan terhadap penjagaan alam sekitar dan kesihatan agar kita dapat hidup dalam keadaan lebih sejahtera," katanya.
.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kem Pakar Perubatan dan Kesihatan serta Pelancaran Rakan Muda Alam Sekitar Parlimen Sembrong di Taman Sri Lambak di sini hari ini.
Pelbagai aktiviti termasuk pemeriksaan kesihatan dan penyampaian kerusi roda kepada golongan kurang upaya diadakan pada program tersebut.
.
Vidyananthan menggesa pihak tertentu agar tidak rakus menggondol kawasan hutan, sebaliknya menanam lebih banyak pokok untuk membantu meningkatkan lagi kebersihan alam sekitar.
.
"Orang ramai pula perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurang sekali setahun untuk mengetahui tahap kesihatan diri," katanya.