Istimewanya baju kurung adalah kerana ia menampilkan ciri-ciri keayuan dan kesopanan serta menambahkan kelembutan kepada gerak-geri pemakainya.
Dari segi sejarahnya, baju kurung dikatakan mempunyai kaitan dengan pakaian 'djallabiyah' yang berasal dari Mesir di mana ia diertikan sebagai baju longgar. Adalah sukar untuk membuktikan dengan tepat sejak bilakah baju kurung mula dicipta dan dipakai oleh masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, ada yang mengatakan bahawa ia berasal dari Johor, iaitu kira-kira 200 tahun yang lalu semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar di Teluk Belanga, Singapura.
Terdapat beberapa jenis baju kurung, antaranya ialah Baju Kurung Teluk Belanga, Baju Kurung Cekak Musang, Baju Kurung Riau-Pahang dan Baju Kurung Kedah. Sungguhpun pada umumnya kesemua jenis baju kurung mempunyai ciri-ciri persamaan, tetapi terdapat beberapa perbezaan yang ketara baik dari segi pola, potongan dan cara pemakaiannya.
Baju Kurung Teluk Belanga juga lebih dikenali sebagai baju kurung atau baju kurung Johor. Potongannya adalah labuh dan longgar kerana dirusuknya berpesak dan di bawah lengannya pula diletakkan kekek. Potongan lehernya bulat dan berbelah di depan. Pada sekeliling tebukan lubang leher itu, jahitan tulang belut digunakan bagi mengemas dan memperkukuhkan lagi leher baju tersebut. Baju ini dipadankan bersama kain sama ada dari jenis batik, songket atau sutera. Kain ini pula diikat dengan ikatan yang bernama ombak mengalun, iaitu dengan lipatan-lipatan yang letaknya di rusuk kanan atau kiri.
Baju Kurung Cekak Musang adalah sama dnegan baju kurung Teluk Belanga kecuali pada bahagian lehernya. Leher Baju Kurung Cekak Musang ada kolar. Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak. Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang berkancing. Potongan baju ini dipercayai menerima pengaruh dari India dan China.
Baju Kurung Riau Pahang pula menyingkap pertalian sejarah antara kedua negeri Riau dan Pahang. Walaupun Riau dan Pahang adalah dua buah negeri yang berjauhan, perhubungan politik dan sosio budaya yang terjalin sewaktu zaman kerajaan Melayu Melaka terserlah dengan terciptanya potongan pakaian ini yang juga dikenali sebagai Baju Belah atau Baju Kebaya Turki. Berbeza dengan pesak baju kurung, kedua-dua bahagian tepi Baju Kurung Riau Pahang berpesak kembang yang disambungkan kekek gantung. Baju berkolar tinggi ini amat menarik sekali dipakai dengan tujuh atau sembilan butir butang.
Manakala Baju Kurung Kedah pula dikatakan mempunyai pengaruh dari Siam. Ini kerana potongan baju ini hampir menyerupai blaus pendek Siam yang agak singkat dari baju kurung biasa. Baju kurung Kedah selalunya diperbuat daripada kain kapas yang berbunga kecil ataupun kain nipis yang jarang dan keras. Baju ini dipadankan dengan kain batik sarung atau pelikat yang dilipat ke depan dengan motif kepalanya di hadapan.
Selaras dengan peredaran zaman, kini pelbagai busana rekaan moden telah muncul dan diterima oleh masyarakat Melayu. Sungguhpun pada umumnya kita telah menerima pengaruh moden dalam pakaian harian, namun baju kurung tetap menjadi pilihan kaum wanita untuk digayakan. Bezanya, rekaan baju kurung sekarang lebih kontemporari tetapi masih mengekalkan ciri-ciri keasliannya.
Selain terdapat perubahan pada potongan dan bentuknya, untuk menghasilkan rekaan yang lebih moden dan kreatif, baju kurung juga dihiasi dengan sulaman, kerawang, manik mahupun labuci. Material untuk menghasilkan baju kurung juga turut berubah. Kini, terdapat pelbagai pilihan material antaranya satin, organza, chiffon, sutera, batik, linen dan banyak lagi. Perubahan ini dilakukan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa atau majlis yang hendak dihadiri selain cuba meniru gaya potongan asing yang mungkin bertujuan untuk kelihatan lebih anggun. Kini terdapat pelbagai variasi baju kurung, dan ia dikenali sebagai Baju Kurung Moden.
Walaupun baju kurung telah mengalami evolusi selaras dengan perubahan masa dan citarasa pemakai, namun rekaannya masih sama. Ia tetap selesa dan manis dipakai selain menampakkan kesopanan gadis Timur dan keunggulan budaya Melayu.
No comments:
Post a Comment