KLUANG 20 Okt. - Orang Asli sering dikaitkan dengan kemiskinan, namun kini masyarakat pribumi itu tidak ketinggalan mengecapi pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan.
Malah, kerajaan sentiasa mengambil berat kemudahan dan kebajikan kaum tersebut termasuk membawa pelbagai kemudahan seperti bekalan air bersih, elektrik dan perumahan yang selesa.
Baru-baru ini, 21 ketua keluarga masyarakat Orang Asli di Kampung Tanah Runtuh, Kluang turut menerima replika kunci rumah masing-masing yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Johor, Asiah Md. Ariff.
Menurut Asiah, kerajaan tidak pernah meminggirkan kaum pribumi itu, malah sentiasa menyediakan pelbagai prasarana di perkampungan mereka sejak negara mencapai kemerdekaan lebih sedekad lalu.
"Turut dilaksanakan projek perumahan di bawah Program Bantuan perumahan Rakyat menerusi kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) seperti yang kita sampaikan ini," katanya.
Pada majlis penyampaian replika kunci rumah berkenaan, masyarakat Orang Asli turut dijamu sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah JHEOA, Mohd. Sani Mistam dan Pengarah JHEOA Johor, Mohd. Shahnaz Yazid.
Daripada 21 penerima rumah dalam program berkenaan, 16 daripada mereka adalah di beberapa Kampung Orang Asli di Kluang dan lima lagi penduduk di Mersing.
"Pembinaan rumah tiga bilik ini untuk membolehkan mereka tinggal bersama keluarga dalam keadaan lebih selesa," kata Asiah.
Beliau berkata, sebanyak 149 rumah untuk golongan itu telah didirikan oleh JHEOA Johor dengan kos RM4.8 juta di seluruh negeri menerusi peruntukan pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 134 telah pun siap dibina dan diduduki, manakala bakinya dijangka siap November ini.
"Kesemua rumah ini dilengkapi kemudahan asas termasuk bekalan air bersih dan elektrik," katanya.
Beberapa lagi projek perumahan akan dilaksanakan oleh JHEOA di negeri itu dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), katanya.
Asiah menggesa masyarakat Orang Asli agar memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing.
"Selain pembangunan, kerajaan turut menyediakan kemudahan lain termasuk imput pertanian untuk menggalakkan Orang Asli terlibat dalam projek pertanian," katanya.
No comments:
Post a Comment