Friday, July 16, 2010

7 Wasiat Raja-Raja Melayu

Wasiat Raja-Raja Melayu dan Pemimpin-pemimpin yang dibuat semasa merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957.

7 perkara itu adalah :

PERTAMA
Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA);

KEDUA
Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

KETIGA
Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar;

KEEMPAT
Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;

KELIMA
Kami isytiharkan ISLAM ialah Agama Persekutuan;

KEENAM
Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU, dan;

KETUJUH
Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN(kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)


7 WASIAT YANG DITERJEMAHKAN DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN - secara ringkas

1. MALAYSIA - Perkara 1 (Nama, Negeri-negeri dan Wilayah-wilayah Persekutuan)

Persekutuan dinamai Malaysia pada 16 September 1963. Negeri-negerinya terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah. Sarawak, Selangor dan Terengganu.

2. TANAH SIMPANAN MELAYU - Perkara 89 (Tanah Rizab Orang Melayu)

Mana-mana tanah di sesuatu negeri yang menjadi tanah rizab orang Melayu sebelum hari merdeka mengikut undang-undang yang ada, maka tanah itu boleh terus-menerus menjadi tanah rizab orang Melayu mengikut undang-undang itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Badan Perundangan Negeri dengan suatu Enakmen.

3. REJIMEN ASKAR MELAYU - Seksyen 16(1) Akta Angkatan Bersenjata 1972

Seksyen tersebut menyatakan, "Mana-mana orang boleh diambil masuk ke dalam angkatan tetap; dengan syarat bahawa hanya orang Melayu boleh diambil ke dalam Askar Melayu Diraja"
Askar Melayu Diraja diilhamkan pada tahun 1902 dan ditubuhkan pada tahun 1932 di bawah Malay Regiment Ordinance. Pasukan pertama Askar Melayu Diraja terdiri daripada 23 orang dan meningkat kepada 2 batalion pada tahun 1941. Askar Melayu Diraja pernah berperang dengan tentera Jepun di Pengkalan Chepa, Kelantan dan di Singapura dalam Perang Dunia Kedua.
Angkatan Tentera Malaysia terdiri daripada tiga perkhidmatan iaitu udara, darat dan laut yang semuanya terbuka kepada semua kaum. Askar Melayu Diraja hanya satu komponen dalam pelbagai bidang ketenteraan dan berperanan mempertahankan negara dari ancaman dan pencerobohan dari luar negara tetapi tidak terlibat dalam ketenteraan awam dan keselamatan dalam negara.

4. RAJA-RAJA MELAYU - Perkara 32 (Kepala Utama Negara Bagi Persekutuan Dan Permaisurinya)

Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelar Yang di-Pertuan Agong yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan. Raja Permaisuri Agong mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh jawatan lima tahun.

5. ISLAM - Perkara 3 (Agama Bagi Persekutuan)

Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Raja / Sultan di setiap negeri ialah Ketua Agama Islam bagi negerinya dan bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan / Raja, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam negeri itu termasuklah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

6. BAHASA MELAYU - Perkara 152 (Bahasa Kebangsaan)

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah Bahasa Melayu. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan selaipun dengan menggunakan dana awam. Pindaan kepada Perkara ini tidak boleh diluluskan dengan tiada perkenan Majlis Raja-Raja.

7. KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU DAN KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN - Perkara 153 (Perizaban Kuota Mengenai Perkhidmatan, Permit Dan Sebagainya Untuk Orang Melayu)

Perlembagaan Persekutuan memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum lain. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan rizab kuota orang Melayu dan Bumiputera dalam perkhidmatan awam, kemudahan pelajaran, permit dan lesen perniagaan.

No comments:

Post a Comment