Thursday, January 7, 2010

BH : Peniaga ayam degil

RUANG penyembelihan ayam yang sempit dan tidak teratur di Pasar Awam Kluang.
.
Notis peringatan arahan pindah kawasan sembelih dan bersih tak dihirau
.
KLUANG: Sikap degil kira-kira 30 peniaga ayam di Pasar Awam Kluang di sini yang masih enggan menghenti serta memindahkan aktiviti penyembelihan dan pembersihan ayam di kawasan berkenaan terus menimbulkan tanda tanya walaupun dua notis peringatan sudah diberikan Majlis Perbandaran Kluang (MPK), selain kompaun RM500 seorang dikenakan terhadap mereka.
.
Arahan memindahkan operasi penyembelihan dan pembersihan ayam di pasar berkenaan sudah dikeluarkan secara rasmi sejak Julai lalu yang memberikan tempoh sehingga September 2009 bagi mereka berbuat demikian.
.
Ia menjadikan Pasar Awam Kluang sebagai satu-satunya pasar awam di negeri ini yang masih belum memindahkan pusat penyembelihan dan pembersihan ayamnya selaras arahan dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang tidak membenarkan lagi ia berada dalam pasar atau kawasan bandar. Arahan itu dibuat selepas pertemuan peniaga dengan MPK disusuli dua notis peringatan masing-masing dikeluarkan pada September dan November dan terakhir, kompaun RM500 dikeluarkan MPK pada 24 Disember lalu.
.
Kedegilan peniaga memindahkan pusat penyembelihan dan pembersihan ayam di Pasar Awam Kluang itu menyebabkan penduduk sekitar terutama di Kampung Melayu terpaksa menghidu bau busuk, selain masalah lalat disebabkan air sisa buangan pemprosesan ayam termasuk darah disalurkan terus ke Sungai Mengkibol yang terletak berhampiran rumah mereka.


TEMPAT membersihkan ayam yang kotor dan berbau.
.
Tidak tahan dengan keadaan tidak menyenangkan itu termasuk pencemaran di Sungai Mengkibol, penduduk mengemukakan aduan kepada MPK Julai lalu, tetapi peniaga masih enggan berpindah sebaliknya mengemukakan rayuan. Bagaimanapun, bagi menyelesaikan segera kemelut yang berlanjutan sekian lama itu, empat Ahli Majlis MPK iaitu Sakina Bi Mohd Sadique, Chye Kwee Yeow, Peng Kim Keok dan Sin Geok Ping; wakil MPK serta peniaga berkenaan yang juga ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kluang, mengadakan dialog baru-baru ini.
.
Dalam sesi dialog hampir dua jam itu, peniaga ayam diketuai Gan Cheong Chiam yang juga Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kluang, memberikan alasan keengganan mereka berpindah disebabkan peniaga tidak mampu mewujudkan pusat penyembelihan dan pembersihan ayam di luar kawasan pasar akibat faktor kos tinggi. "Peniaga bukan tidak mahu berpindah tetapi kami sebenarnya tidak mampu. Ini kerana kos tinggi diperlukan bagi mewujudkan pusat itu jauh daripada kawasan pasar dan bandar, sedangkan peniaga hanya menjual tidak lebih daripada 100 ayam sehari.
.
"Kami tiada masalah berpindah jika MPK menyediakan peruntukan bagi mewujudkan pusat penyembelihan seperti diarahkan. Kami juga memohon supaya kompaun RM500 yang dikeluarkan dibatalkan dan berjanji akan mencapai kata sepakat dalam hal ini," katanya.
.
Ketua Bahagian Kawalan Perniagaan dan Pelesenan MPK, Mohd Hisham Mulyoto, pula berkata, arahan pemindahan itu termaktub dalam pekeliling dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, masing-masing pada 2004 dan 2006. Beliau berkata, ia bertujuan mengelakkan pencemaran dan penularan wabak penyakit seperti selsema burung daripada merebak.
.
"Itu arahan kerajaan dan kami sebagai ejen pelaksana perlu menguatkuasakannya, malah aduan sudah dibuat orang awam. Kami juga sudah memberi banyak masa kepada peniaga untuk berpindah,” katanya. "Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai peruntukan untuk mewujudkan pusat penyembelihan seperti dipohon peniaga. Jadi, MPK mencadangkan supaya satu konsortium bersama ditubuhkan bagi mewujudkan pusat itu yang boleh dikongsi bersama bagi menjimatkan kos peniaga," katanya.
.
Mohd Hisham berkata, walaupun hasil dialog berkenaan tidak mencapai keputusan diharapkan, beliau akan membawa hasil perbincangan itu ke mesyuarat Ahli Majlis MPK bagi mendapatkan keputusan akhir menyelesaikan isu berkenaan.

No comments:

Post a Comment