Wednesday, January 6, 2010

Wujudkan konsortium pusat penyembelihan ayam

KLUANG 5 Jan. - Para pengusaha gerai ayam di Pasar Awam di sini disaran mewujudkan konsortium pusat penyembelihan di tapak yang sesuai dan berjauhan dari pasar berkenaan.
.
Ketua Bahagian Pelesenan Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Mohd. Hisham Mulyoto berkata, langkah itu selaras dengan arahan kerajaan Pusat yang melarang pengusaha gerai ayam melakukan aktiviti penyembelihan dan pemprosesan di kawasan pasar awam.
Pekerja memproses ayam yang disembelih di sebuah gerai di Pasar Awam, Kluang, kelmarin.
.
Menurutnya, ketiadaan aktiviti tersebut akan dapat meningkatkan lagi tahap kebersihan di kawasan pasar selain menghindarkan penularan wabak termasuk selesema burung.
.
''Sudah sampai masanya para pengusaha perlu bersatu dan mewujudkan sebuah konsortium pusat penyembelihan yang terletak berjauhan dari pasar demi kepentingan bersama," katanya pada perjumpaan dengan 30 pengusaha gerai ayam berkenaan di sini semalam.
.
Perjumpaan itu diadakan ekoran kegagalan mereka mematuhi arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dikeluarkan pada April 2006 agar menghentikan aktiviti penyembelihan dan pemerosesan ayam di pasar tersebut.

Akibat kegagalan itu, setiap pengusaha telah dikenakan kompaun RM500 oleh MPK pada 24 Disember tahun lalu selepas beberapa arahan yang dikeluarkan sejak 7 Julai tahun berkenaan tidak dipatuhi.
.
Turut hadir pada perjumpaan lebih dua jam itu ialah beberapa Ahli Majlis MPK termasuk Sakina Bi Mohamed Sadique dan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kluang, Gan Cheong Chiam.
.
Mohd. Hisham berkata, sejak aktiviti penyembelihan dan pemerosesan ayam bermula di pasar itu pada 1991, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk sekeliling mengenai pencemaran udara dan air di Sungai Mengkibol.
.
''Jabatan Alam Sekitar (JAS) sendiri mengesahkan pencemaran air sungai berkenaan berpunca daripada aktiviti yang dilakukan pengusaha terbabit'' katanya.
.
Beliau menolak saranan pengusaha agar MPK menyediakan peruntukan khas dan tanah untuk membina pusat penyembelihan dan pemerosesan tersebut.
.
''Setahu saya setakat ini tiada sebarang peruntukan dikeluarkan kerajaan bagi mendirikan pusat tersebut kecuali pembinaan pasar awam," katanya.
.
Sementara itu, menurut Mohd. Hisham, beliau akan mengemukakan rayuan kepada Yang Dipertua MPK, Abdul Rahman Dewam mengenai permintaan mereka agar MPK dapat membatalkan kompaun yang dikeluarkan dan melanjutkan lagi tempoh menghentikan aktiviti tersebut.

No comments:

Post a Comment