Monday, December 7, 2009

Program Khidmat Seni Budaya MAKUM di Parlimen Kluang

Program Khidmat Seni Budaya MAKUM anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia dengan kerjasama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Kluang, YB Dr. Hou Kok Chung bakal berlangsung di Parlimen Kluang bermula 16 hingga 20 Disember 2009.

Program ini melibatkan kesemua 20 buah IPTA dan 7 buah sekolah di Kluang, iaitu SK Kg. Dato' Abdul Rahman Yassin, SJK (C) Ping Ming, SJK (T) Jalan Haji Manan, SK Kg. Melayu, SMK Jalan Kota Tinggi, SMK Jalan Mengkibol dan SMK Canossian Convent.
.
Program ini akan memanfaatkan peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar IPTA, pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah daerah Kluang dan juga masyarakat setempat di mana jatidiri mereka dapat diperkukuhkan melalui seni dan budaya. Ianya juga dapat meningkatkan rasa kecintaan kepada kebudayaan kebangsaan, di samping menggalakkan pelajar mengenali masyarakat dalam konteks seni dan budaya.

Seramai 80 orang pelajar pelbagai kaum dari semua IPTA dalam negara akan berinteraksi bukan sahaja dengan masyarakat setempat, malah dengan 120 orang pelajar-pelajar terpilih yang datang daripada beberapa sekolah rendah dan menengah dalam Parlimen Kluang. Pelajar-pelajar sekolah ini juga adalah berbilang kaum.

Kesemua pelajar-pelajar IPTA ini akan tinggal dengan keluarga angkat mereka di Kg. Dato' Abdul Rahman Yassin. Selain melibatkan diri dalam aktiviti harian keluarga angkat, mereka juga akan turut mengadakan kelas-kelas seni budaya bersama pelajar-pelajar sekolah yang menjurus kepada kesenian kebangsaan seperti Cak Lempong, Tarian Tradisi pelbagai kaum, Perkusi, berbalas pantun, puisi, nasyid dan lain-lain kesenian yang berupaya mengangkat jatidiri.

Kelas-kelas seni akan diadakan secara holistik bermula dari aspek sejarah hinggalah proses pembelajaran kesenian tersebut. Konsep Mentor (siswa-siswi) dan Mentee (pelajar) akan memberi kesan yang lebih menarik kerana kumpulan Mentor dan Mentee akan berusaha menjayakan beberapa persembahan terbaik yang telah diaturkan dalam program ini.

Program ini juga menjadi pengisian waktu cuti sekolah yang sangat berfaedah serta baik kepada pelajar-pelajar IPTA dan juga pelajar-pelajar sekolah yang terlibat.

Jadual aktiviti / acara yang telah dirancangkan :

Khamis (17/12/2009), masa 7.30 - 8.30 mlm:

Acara Sanggar Rohani, bertempat di Masjid Kg. Dato' Abdul Rahman Yassin
Sabtu (19/12/2009), masa 7.00 pg - 12.00 tghr :

Acara Senam Seni / Karnival Permainan Tradisional, bertempat di Padang SK Dato' Abdul Rahman Yassin
Sabtu (19/12/2009), masa 8.30 - 10.00 mlm :

Acara Persembahan Showcase Seni 1 Malaysia, bertempat di Kluang Mall
Ahad (20/12/2009), masa 3.00 - 6.30 ptg :

Acara Penutup / Manifestasi Seni Bersama Rakyat, bertempat di Dewan SJK (C) Ping Ming, Kluang
.
Penduduk Kluang diseru supaya dapat datang beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada acara-acara yang telah dirancangkan Penyertaan orang ramai adalah seperti berikut :
Sanggar Rohani : Terbuka

Senam Seni / Karnival : Terbuka

Showcase Seni 1 Malaysia : Jemputan (dikhaskan tempat duduk), Orang Ramai Tanpa Jemputan (tidak disediakan tempat duduk)

Manifestasi Seni Bersama Rakyat : Jemputan sahaja

No comments:

Post a Comment