Wednesday, August 26, 2009

Prinsip Kelima Rukun Negara - Kesopanan dan Kesusilaan

Huraian ringkas :
Prinsip ini memberi penekanan kepada peri pentingnya personaliti dan tingkah laku seseorang dalam menggambarkan kebudayaan negara ini. Sifat sopan santun dan tatasusila adalah penting dalam konteks perhubungan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia.
Bahasa yang lembut dan tingkah laku yang sopan dapat menjamin hubungan yang harmoni dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Pembentukan individu yang berdisiplin dan bermoral tinggi hasil didikan yang berhemah dapat menjamin kewujudan sebuah masyarakat yang saling berinteraksi dalam suasana bersatu padu dan aman.

Prinsip Keempat Rukun Negara - Kedaulatan Undang-Undang

Huraian ringkas :
Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi dalam negara Malaysia. Ketaatan kepada undang-undang negara banyak dibantu oleh pihak yang berkuasa seperti polis, penjara dan institusi kehakiman (mahkamah) yang bebas dan berwibawa.
Kepatuhan kepada undang-undang mampu menjamin keharmonian masyarakat dan keselamatan negara juga lebih terjamin. Oleh itu, setiap anggota masyarakat hendaklah patuh kepada undang-undang yang telah digubal supaya keamanan negara tercapai seterusnya usaha-usaha pembangunan dapat dijalankan dengan lebih lancar. Kebebasan rakyat untuk menyuarakan buah fikiran masih tertakluk kepada beberapa perundangan tertentu bagi menjamin keamanan.

Prinsip Ketiga Rukun Negara - Keluhuran Perlembagaan

Huraian ringkas :
Perlembagaan Negara memberi perlindungan kepada setiap anggota masyarakat negara ini dari segi melindungi hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Perlembagaan juga meletakkan tanggungjawab-tanggungjawab dan kewajipan-kewajipan warganegara yang mendukungnya.
Sejajar dengan itu, setiap warganegara harus menghormati, menghargai serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang penggubalannya bagi memastikan Malaysia terus aman, makmur dan maju dalam segenap bidang.
Oleh sebab Perlembagaan Negara digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan pihak di negara ini, maka ia merupakan kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Perlembagaan Negara juga merupakan sumber rujukan kepada semua perkara yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat Malaysia.

Monday, August 24, 2009

Prinsip Kedua Rukun Negara - Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara

Huraian ringkas :

Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua. Sistem Beraja juga diamalkan di setiap negeri dan Yang DiPertuan Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja.
Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat, setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpahkan taat setia mereka kepada raja yang memerintah negeri tersebut tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang DiPertuan Agong.
Kesetiaan adalah jiwa kebangsaan kita. Kesetiaan dari sanubari kepada raja dan tanah air ini mampu menyatukan kita semua dari pelbagai rumpun menjadi satu bangsa yang bersatu padu.

Prinsip Pertama Rukun Negara - Kepercayaan Kepada Tuhan

Huraian ringkas :
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Sesungguhnya dengan nama Tuhanlah bangsa dan Negara ini wujud sebagai sebuah bangsa dan Negara yang berdaulat. Islam adalah agama Persekutuan. Agama-agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram. Tindakan membeza-bezakan seseorang atas alasan agama adalah dilarang.

Ungkapan Bestari

Kalau hendak beroleh kemerdekaan fikiran, hendaklah biasakan hidup melarat, sengsara dan tidak terpengaruh oleh hiasan dunia. Tetapi kalau engkau hendak mencapai kemerdekaan untuk diri sendiri dan bangsamu, hendaklah engkau biasakan bersikap tabah menempuh perjuangan.

Friday, August 21, 2009

Semarak Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kluang - Bhgn. 2

Majlis Perasmian Semarak Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kluang Tahun 2009 diadakan sebaik sahaja peserta selesai menyanyikan 4 lagu patriotik : Negaraku, Satu Malaysia, Jalur Gemilang dan Malaysiaku Gemilang.
Antara pengisian sepanjang majlis perasmian berlangsung :
Tarian zapin yang cukup sinonim dengan masyarakat Johor

Persembahan taichi oleh kaum Cina. Menariknya, ia juga disertai oleh seorang peserta berbangsa Melayu

Persembahan kebudayaan masyarakat India

Deklamasi sajak - diwakili oleh ketiga-tiga kaum Melayu, Cina dan India

Segmen kuiz kenegaraan - dikendalikan oleh En. Aun

Juruacara bertugas - En. Abas

JAV bertugas - En. Ruhaizad



Antara yang memeriahkan sambutan

Ucapan penuh bersemangat oleh PPD Kluang, En. Abd. Razak

Ucapan oleh En. Wong Fook Onn, Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Lalang

Ucapan Perasmian oleh En. Mohamed Iqbal, Penolong Pengarah KPK

Penyampaian Jalur Gemilang kepada Ketua Masyarakat

Penyampaian hamper kepada pemenang cabutan bertuah


Sambutan yang diberikan oleh penduduk-penduduk Kg. Sri Lalang sememangnya amat menggalakkan, yang mana penduduk berbilang bangsa (Melayu, Cina dan India) tanpa mengira usia turut sama memeriahkan program Semarak Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kluang Tahun 2009.

Syabas dan terima kasih diucapkan kepada penduduk-penduduk Kg. Sri Lalang !

Thursday, August 20, 2009

Klinik Khidmat Nasihat Undang-Undang / Guaman di Pusat Maklumat Rakyat Kluang

Pada 19hb. Ogos 2009, Biro Bantuan Guaman Negeri Johor telah mengadakan Klinik Khidmat Nasihat Undang-Undang / Guaman bertempat di Pusat Maklumat Rakyat Kluang. Tiga orang kakitangan Biro Bantuan Guaman, Cik Noor Doty Rasul, Cik Noorul Badariah Abd. Majid dan En. Teoh Kwok Wai telah memberikan khidmat nasihat kepada pelanggan-pelanggan yang memerlukan bantuan dari sudut guaman dan undang-undang. Perkhidmatan ini dibuka bermula jam 9.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari.

En. Teoh, Cik Noor Doty dan Cik Nurul Badariah melayan mereka yang memerlukan khidmat dari Biro Bantuan Guaman


Antara yang mendapatkan khidmat dari Biro Bantuan Guaman

Ketua Masyarakat Sri Lalang, En. Wong Fook Onn turut mengambil kesempatan mendapatkan khidmat dari Biro Bantuan Guaman

Kakitangan PMR, En. Isa bergambar bersama En. Wong

En. Wong menggunakan perkhidmatan yang disediakan di PMR

Bergambar bersama Ketua PMR dan Ketua Masyarakat Sri Lalang, En. Wong
................................................................................
Peranan dan fungsi Biro Bantuan Guaman :
a. memberi nasihat dalam semua perkara undang-undang, sivil dan syariah
b. mewakili atau menyediakan khidmat peguam dalam perbicaraan di mahkamah-mahkamah di Malaysia (sivil atau syariah) yang termasuk di bawah bidang kuasanya.
c. menjalankan proses pengantaraan bagi tujuan menyelesaikan pertikaian secara damai dan sukarela
d. memberi ceramah dan penerangan kepada orang awam tentang hak-hak mereka di bawah Akta Bantuan Guaman 1971
e. mengadakan perkhidmatan nasihat guaman dan undang-undang kepada masyarakat yang tinggal jauh di pedalaman
...............................................................................
Siapa yang layak mendapatkan khidmat bantuan guaman?

1. Pemohon berpendapatan tidak melebihi RM25,000 setahun, layak mendapat khidmat bantuan guaman secara PERCUMA dan hanya perlu membayar RM2.00 sebagai yuran pendaftaran
2. Pemohon berpendapatan melebihi RM25,000 setahun tetapi tidak melebihi RM30,000 setahun, dikenakan bayaran sebanyak RM300 dan yuran pendaftaran RM2.00
..............................................................................
Jenis-jenis kes yang boleh diberi khidmat bantuan guaman :

Kes kekeluargaan sivil / syariah
1. Tuntutan nafkah
2. Perubahan perintah nafkah
3. Menguatkuasakan perintah nafkah
4. Tuntutan cerai
5. Hak sepenjagaan
6. Harta sepencarian / harta perkahwinan
7. Mutaah
..................................
Kes sivil
1. Pampasan pekerja
2. Penanaman padi
3. Harta pesaka kecil
4. Kemalangan
5. Pinjaman wang
6. Sewa beli
7. Sewa menyewa
8. Surat mentadbir pesaka
9. Permohonan anak angkat
10. Tuntutan pengguna
..................................
Kes jenayah
1. Untuk meringankan hukuman bagi mereka yang mengaku bersalah dalam semua kes jenayah di Mahkamah Sivil
2. Prosiding jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001
3. Prosiding jenayah di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955
...........................................................................
BIRO BANTUAN GUAMAN CAWANGAN JOHOR

Pengarah
Biro Bantuan Guaman
Tingkat 2, Bangunan Pusat Profesional
Jalan Dato' Syed Mohamad Mufti
80000 Johor Bahru
No. Tel : 07-223 4960 / 223 7073
No. Faks : 07-224 7169

Persitiwa Falak Detik Kemerdekaan Malaysia

Sebelum Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Bapa Kemerdekaan Malaysia mengetuai rombongan ke London untuk berunding tentang tuntutan kemerdekaan dengan kerajaan Inggeris pada 1 Januari 1956, Tunku telah meminta nasihat daripada Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika itu yang juga merupakan salah seorang tokoh di bidang ilmu falak.
Tunku Abdul Rahman beranggapan bahawa beliau perlu berjumpa dengan Syeikh Abdullah Fahim (datuk kepada Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi) yang pada pendapatnya mempunyai firasat dan kasyaf agar tarikh yang baik dapat dipilih bagi kemerdekaan Tanah Melayu (Mokhtar Petah, 1997).

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
Syeikh Abdullah Fahim menyebut dalam bahasa Arab : "am khir atana" (tahun baik datang kepada kita) bagi hari Sabtu, 31 Ogos 1957. Beliau berpesan supaya jika tarikh untuk pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu tidak pada 31 Ogos 1957, maka pada tahun-tahun berikutnya sebelum tahun 1962 adalah tidak baik bagi orang Melayu untuk mengisytiharkan kemerdekaan. Beliau juga melarang pemuda-pemuda UMNO (United Malays National Organization) dari memberontak dan merampas kuasa jika kerajaan British tidak menyetujui tarikh 31 Ogos 1957 ini. Jika kemerdekaan tidak dapat disambut pada tarikh yang dikehendaki itu, Syeikh Abdullah Fahim meminta supaya menunggu hingga lima tahun lagi iaitu pada hari Jumaat, 31 Ogos 1962.
Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim
Bagaimanapun apa yang dikehendaki telah termakbul dan pada 20 Februari 1956, telah ditetapkan pada 31 Ogos 1957 dan diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka.

Wednesday, August 19, 2009

Siri Tokoh Kebangsaan - Tun Perak

Tun Perak telah dianggap salah seorang daripada tiga orang pentadbir yang teragung di alam Melayu pada masa Kesultanan Melayu Melaka. Beliau mempunyai keperibadian, cita-cita dan kebolehan yang tinggi murni bagi seorang pemimpin. Beliau merupakan Bendahara Melaka dalam kurun ke-15 dan merupakan pentadbir yang teragung bersama-sama dengan Aria Gajah Mada dari Majapahit dan Raja Kenayan dari Pasai. Beliau merupakan Bendahara Melaka yang ke-lima dengan gelaran Bendahara Paduka Raja selepas Bendahara ke-empat iaitu Tun Ali Seri Nara Di-raja.
.
Melaka telah diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1396. Melaka telah dinamakan bersempena pokok melaka. Melaka telah dijadikan pentas bagi pendatang Cina, Portugis, Belanda dan Inggeris dalam penciptaan sejarah. Di bawah pemerintahan Parameswara dan pemerintah-pemerintah selepas beliau serta dibantu oleh Bendahara Tun Perak, Melaka membangun hingga menjadi kuat dari segi politik, sosial dan ekonominya. Kepesatan pembangunan di Melaka telah menarik ramai pedagang-pedagang asing dari negara China, India, Timur Tengah serta negara-negara jiran. Melaka pernah menjadi pusat perdagangan utama di timur pada suatu masa dahulu.
.
Kesejahteraan Melaka ini jugalah yang telah menarik kuasa-kuasa asing seperti Thailand untuk menakluk Melaka. Percubaan Thailand untuk menakluk Melaka pada tahun 1446 dan 1456 telah dijatuhkan oleh Tun Perak, seorang Bendahara Melaka yang bijak. Perhubungan Melaka dengan negara China juga adalah hasil keputusan strategik Melaka untuk menghalang kemasukan Siam. Kepesatan pembangunan di Melaka telah menarik ramai pedagang-pedagang asing dari negara China, India, Timur Tengah serta negara-negara jiran. Melaka pernah menjadi pusat perdagangan utama di timur pada suatu masa dahulu.

Siri Tokoh Kebangsaan - Tok Janggut

Nama sebenar Tuk Janggut ialah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas. Beliau mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setahun, pokok buah-buahn sebanyak 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.
.
Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff iaitu seorang pegawai takbir British yang berasal daripada luar Kelantan, menggantikan Engku Besar. Pertelingkahan mengenai cukai dan pengurusan pengutipan cukai yang terlalu lambat membuatkan Haji Mat Hassan (Tuk Janggut) enggan membayar cukai. Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib menemui Tuk Janggut pada 29 April 1915. Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh, Tuk Janggut telah menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.
.
Kebangkitan Tuk Janggut menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu berasa terancam dan mengganggap Tuk Janggut sebagai penderhaka dan dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tuk Janggut telah dibunuh. Mayat Tuk Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa dalam satu hari. Mayat beliau digantung beberapa hari di depan istana, di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.

Mayat Tok Janggut

Siri Tokoh Kebangsaan - Tok Gajah

Tok Gajah adalah ayah kepada Pahlawan Melayu Pahang iaitu Mat Kilau. Pada tahun 1891 hingga tahun 1895 telah berlaku pemberontakan Pahang terhadap pemerintah negerinya. Tok Gajah merupakan tokoh yang terlibat bersama dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Datuk Lela menentang penjajah Inggeris. Beliau bertindak menghalau penjajah Inggeris dengan segala tipu helahnya yang hendak merampas pemerintahan negeri Pahang. Beliau mempunyai semangat perjuangan yang gigih serta sanggup berdepan dengan askar-askar Inggeris yang lengkap bersenjata. Beliau juga bersama dengan Wan Lingga telah diarahkan oleh Bendahara Wan Ahmad untuk menyerang Maharaja Perba dan Orang Kaya Setia Lela. Ini adalah disebabkan perselisahan faham antara Maharaja Perba dengan Bendahara. Beliau pernah diutuskan ke Singapura bagi mendapatkan khidmat peguam sebagai penasihat Sultan Ahmad. Beliau juga menjadi ketua pasukan perang Sultan Ahmad dalam menentang penjajah Inggeris.
.
Golongan ketiga di negeri Pahang yang menjadi pemilik tanah yang penting dan berkuasa di kawasan-kawasan tertentu dikenali sebagai Orang Besar Raja. Golongan ini juga merupakan orang kesayangan istana tetapi bukan berketurunan bangsawan dan dinaikkan pangkat berdasarkan kepada kecekapan serta kemahirannya dalam bidang ketenteraan. Tok Gajah dan Tuan Sheikh Kechil merupakan dua orang tokoh yang terpilih mengikut kategori tersebut. Tok Gajah mempunyai pengaruh yang luas dan sangat dihormati serta ditakuti oleh orang-orang Inggeris. Beliau merupakan penasihat utama Sultan dalam segala yang berkaitan dengan Hulu Pahang, iaitu hal-hal yang berhubung dengan kawasan-kawasan di hilir sungai dari Pulau Tawar.

Siri Tokoh Kebangsaan - Mat Salleh

Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Mat Salleh pernah mengisytiharkan daerah Tambunan atau dalam bahasa Mat Salleh 'Negeri Tambunan' sebagai daerah di bawah kekuasaannya. Mat Salleh berasal daripada suku Suluk Paitan. Ayahnya, Datu Balu berkahwin di Inanam dengan suku Bajau. Hasil daripada perkahwinan mereka itu lahirlah empat orang adik-beradik iaitu Ali, Mat Salleh, Badin dan Bolong. Datu Mat Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjaan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894. Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kubu Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896 hingga 1897.
.
Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897. Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni Hindia Timur Inggeris di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni Hindia Timur Inggeris di Ambong. Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh termasuk Jones yang mengetuai serangan tersebut. Pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatan yang lebih besar. Mat Salleh berjaya mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.
.
Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau jalan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh. Kejatuhan kota ini pada tahun 1900 akibat serangan hebat Kompeni Hindia Timur Inggeris dan berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Malah peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.
.
Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperingati kota Mat Salleh itu. Tugu ini menandakan tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasukan Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbiran Chartered Company menemui ajalnya pada 31 Januari 1900. Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.

Tugu Mat Salleh

Siri Tokoh Kebangsaan - Mat Kilau

Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau. Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. Mat Kilau banyak menuntut ilmu batin dan kepahlawanan hinggakan boleh menghilangkan diri. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Osman yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk sebelum dia berpindah ke Pekan sebagai Mufti Negeri Pahang.
.
Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali(khatib), Awang(Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.
.
Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Penderhaka, iaitu Dato' Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895. The Free Press pula memberitahu bahawa "Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah". Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau. Akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali ,Raja Ibrahim(Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris,maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.
.
Dalam bulan Disember 1969,Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid,Pulau Tawar. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah mebaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Pengistiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis,6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kialu meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun. Beliau tidak sempat menceritakan kisah-kisah perjuangannya kepada kita dengan lebih lanjut.

Siri Tokoh Kebangsaan - Hang Tuah

Hang Tuah telah dilahirkan di Kampung Sungai Duyong, Melaka. Ayahnya bernama Hang Mahmud dan ibunya bernama Dang Wati. Ibubapa beliau mempunyai sebuah gerai kecil bersebelahan dengan Kampung Bendahara. Semasa Hang Tuah masih kecil, beliau bekerja sebagai pemotong kayu di gerai keluarganya.
.
Hang Tuah mempunyai sahabat karib yang bernama Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi dan dikenali sebagai lima perwira. Lima sahabat karib ini telah belajar berguru daripada Guru Ali Putera yang tinggal di atas bukit. Keperwiraan Hang Tuah terserlah apabila beliau dapat mengalahkan orang yang mengamuk di Kampung Bendahara, di mana Tun Perak yang datang menyiasat berkenaan perkara tersebut juga telah diserang. Keadaan tersebut dapat diselamatkan oleh Hang Tuan dan kawan-kawannya.
.
Hang Tuah terkenal dengan sifat taat setia yang tinggi kepada raja dan sanggup berkorban bagi menunaikan tanggungjawab kepada raja dan negerinya. Beliau juga merupakan seorang yang bijaksana dan pintar, pandai menyesuaikan diri dalam keadaan tertentu serta dipercayai oleh Sultan. Hang Tuah merupakan wira unggul pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan dapat mengalahkan pihak musuh yang ingin menawan Melaka. Kata-kata “Tak Melayu Hilang di dunia” akan sentiasa hidup bersama-sama dengan wira Hang Tuah.

Perigi Hang Tuah

Makam Hang Tuah

Siri Tokoh Kebangsaan - Dol Said

Dol Said @ Abdul Said lahir dalam tahun 1773, dari suku Semelenggang dan menjadi Penghulu Naning menggantikan Penghulu Anjak serta dilantik sebagai Penghulu Naning pada tahun 1799 sewaktu berumur 26 tahun. Dol Said merupakan pemerintah Naning yang ke-sembilan yang membantah pengenaan cukai ke atas daerahnya oleh pihak British. Beliau secara keras membangkang kemasukan tentera British di Naning dengan menunjukkan kebijaksanaan peperangan yang telah mengalahkan pihak British dalam dua kempen peperangan. Peperangan Naning, yang berlaku pada tahn 1834 telah menjadikan Dol Said seorang wira yang berani yang telah mengukir tempat di sejarah Melaka.
.
Penghulu Dol Said telah berjaya mendapat sokongan orang Melayu seramai 1,000 orang untuk menentang British dalam Perang Naning yang bermula pada 6 Ogos 1831 dan berakhir pada 24 Ogos 1831 iaitu kira-kira 18 hari berperang. Dalam peperangan tersebut, Penghulu Dol Said telah mendapat kejayaan dan sebab utama kejayaan tersebut adalah kerana perpaduan yang wujud di kalangan orang Melayu serta sokongan orang Melayu di wilayah yang lain. Dol Said akhirnya terpaksa berundur ke Pasir Besar setelah kalah dalam perang Naning kedua pada Februari 1832 dan dalam masa 4 bulan akhirnya Naning jatuh ke tangan British pada 15 Jun 1832. Naning kemudiannya diletakkan di bawah peraturan Negeri-negeri Selat pada 27 Oktober 1832.

Makam Dol Said - Pahlawan Naning

Siri Tokoh Kebangsaan - Dato' Maharaja Lela

Dato' Maharaja Lela Pandak Lam adalah salah seorang pembesar delapan Perak. Pandak Lam adalah keturunan Daeng Salili, anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Daeng Salili dating ke Perak ketika pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III. Beliau dilantik sebgaai mufti Perak dan dianugerahkan gelaran Dato' Maharaja Lela Tan Lela dengan kuasa boleh memancung tanpa bertanya. Beliau terlibat dalam perjuangan menentang British di Perak dan merupakan pemimpin yang mengetuai perjuangan tersebut. Beliau bersama-sama dengan pemimpin lain seperti Orang Kaya-kaya Seri Agar Diraja (lebih dikenali sebagai Dato' Sagor) dan Ngah Kandin telah merancang dan membuat pakatan menentang penglibatan British di Perak dengan membunuh Residen British iaitu James Wheller Woodfird Birch (J.W.W. Birch).
Dalam perjuangan ini beliau mendapat restu daripada Sultan Abdullah dan Sultan Ismail serta mendapat sokongan daripada penduduk sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah. Penglibatan Dato’ Maharaja Lela sebagai tokoh utama dalam pembunuhan J.W.W Birch adalah melaksanakan keputusan mesyuarat Durian Sebatang pada 21 Julai 1875 yang dipengerusikan oleh Sultan Abdullah dan dihadiri oleh pembesar atau wakilnya. Namun, perjuangan beliau didapati bersalah oleh mahkamah yang bersidang dari 14-22 Disember 1876. Beliau telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 20 Januari 1877. Di sini dapat disimpulkan bahawa Dato’ Maharaja Lela adalah pejuang bangsa yang bertanggungjawab kepada sumpah dan janjinya tetapi dikecewakan oleh raja dan bangsanya sendiri.

Siri Tokoh Kebangsaan - Datuk Bentara Luar Johor

Dato' Bentara Luar iaitu Dato' Muhamad Salleh bin Perang berjaya memulakan usaha bagi membangunkan dan membuka Batu Pahat yang dikenali sebagai Pulau Kundur dan Sungai Batu Pahat dikenali sebagai Sungai Kundur. Ianya merupakan petempatan kecil yang berasingan yang dibuka oleh orang-orang kenaman dan orang-orang besar seperti penghulu dan ketua-ketua kampung. Beliau juga merupakan bapa pembangunan bagi negeri Johor berdasarkan usaha-usaha yang dilakukan oleh beliau. Pada tahun 1893, barulah Dato' Bentara Luar berjaya memulakan usaha bagi membangunkan Bandar Batu Pahat di kawasan Simpang Kanan, kira-kira tujuh batu dari kuala sungai Batu Pahat. Pada 4hb. November 1893, Dato' Muhamad Salleh yang pada masa itu diam di Kampung Senangar, dipanggil ke Johor Bahru. Pada 11hb. November 1893 dimana Sultan Abu Bakar telah bertitah kepada beliau untuk membuka Batu Pahat. Dato' Bentara Luar amat mementingkan tanggungjawab belaiau dalam memajukan Batu Pahat iaitu dengan menyediakan kemudahan jalan.
Pembukaan rasmi Batu Pahat telah dilakukan pada 1hb. Januari 1894 oleh Dato' Muhamad Salleh bin Perang sendiri dan telah dihadiri oleh Orang-orang Kaya, Penghulu-penghulu dan orang-orang kenamaan tempatan. Pejabat-pejabat kerajaan juga telah diwujudkan dan disusun dengan teratur. Sistem pentadbiran moden digantikan dengan sistem tradisional dengan pegawai-pegawai tadbir yang tertentu. Batu Pahat mula berkembang maju di mana Dato' Muhamad Salleh bin Perang yang menjadi wakil Raja memerintah Batu Pahat, kemudiannya menjadi Pesuruhjaya Kerajaan dan telah memainkan peranan yang amat aktif. Orang-orang kampung digalakkan dan digesa membuka kebun untuk bercucuk tanam dan membuat parit tali air dan dalam masa yang sama pemodal-pemodal asing mula datang membuka kebun, ladang serta berniaga di Batu Pahat.
Kebolehan Dato' Bentara Luar berbahasa Cina merupakan faktor menyebabkan beliau pada umumnya disukai oleh orang Cina dan faktor yang membawa kepada kemajuan ekonomi dan harmoni di daerah ini. Pentadbiran Batu Pahat di bawah pimpinan Dato' Bentara Luar berjalan lancar dan mengagumkan, ini dinyatakan oleh Ungku Sulaiman bin Daud, Pesuruhjaya Besar Johor (General Commisioner) dalam rangka lawatan tugasnya di Batu Pahat pada 21hb. hingga 24hb. Disember 1896.
Zaman Dato' Bentara Luar berakhir pada pertengahan tahun 1911 apabila Ungku Ahmad bin Ungku Muhamad Khalid dilantik menjadi Pesuruhjaya Kerajaan Batu Pahat menggantikan Dato' Bentara Luar. Batu Pahat mengalami zaman baru bila menjelma pula sistem pentadbiran yang seiringan dalam mana Pesuruhjaya Kerajaan Daerah berpadu dengan Penolong Penasihat berbangsa Inggeris untuk menjalankan pentadbiran. Kini Batu Pahat terus membangun dan muncul sebagai salah satu daerah yang termaju di negeri Johor Darul Takzim dan mempunyai potensi yang besar untuk terus maju pada masa hadapan.

Siri Tokoh Kebangsaan - Dato' Bahaman

Nama sebenar Dato' Bahaman adalah Abdul Rahman. Ayahnya bernama Tuanku Imam Nuh berasal dari Bangkinang. Ibunya adalah Rokiah Abdul Rahman, anak Tok Setia Perkasa Semantan yang berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan. Beliau juga lebih dikenali sebagai Seman adalah seorang yang pandai bersilat dan juga mempunyai ilmu kebal . Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu. Nama 'Seman Tahan' semakin hari semakin masyhur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu sehinggakan sungai itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British. Perang Semantan ini dipimpin oleh seseorang pembesar bernama Dato' Bahaman . Punca utama pemberontakan ini ialah rasa tidak puas hati orang-orang Besar Pahang , terutamanya sekali Dato' Bahaman (Orang Kaya Semantan) terhadap campur tangan British ke atas kawasannya .
Sebenarnya ketegangan di antara Dato' Bahaman dengan pihak British telah bermula sejak tahun 1890 lagi tetapi ketegangan itu memuncak pada tahun 1891. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 bilamana Dato' Bahaman dikatakan telah marah dan mengata-ngata E.A Wise (Pegawai Jajahan Temerloh) kerana E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua iaitu satu tempat yang termasuk dalam kawasan Dato' Bahaman , tanpa terlebih dahulu berunding dengannya . Apabila Hugh Clifford ( Pemangku Residen British Pahang ketika itu ) mengetahui hal tersebut , beliau telah menasihatkan Sultan dan baginda kemudiannya memanggil Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat . Oleh kerana Dato' Bahaman enggan ke Pekan , Sultan telah mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan .
Tindakan melucutkan pangkat dan taraf itu menyakitkan hati Dato' Bahaman . Keadaan ini menyebabkan Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough dan pengikut-pengikutnya pada 15 Disember 1891 ketika mereka sedang mudik Sungai Semantan. Serangan itu dilakukan oleh Dato' Bahaman kerana ia menyangka Desborough datang untuk menangkapnya Dalam serangan yang mengejut itu , pihak Desborough telah kalah dan beliau melarikan diri ke Bandar Temerloh . Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu , pegawai-pegawai British di seluruuh Pahang mula sibuk mengatur tentera mereka untuk melawan orang-orang Melayu yang menentang British .Ekoran dari itu , pada 21 Disember 1891 , satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud telah pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman . Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi mengalami kekalahan.

Tuesday, August 18, 2009

Tahukah anda?

Bunga Raya atau Hibiscus Rosa dipilih sebagai bunga kebangsaan pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri ketika itu YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Pemilihan tersebut adalah berdasarkan kepada keunikan bunganya yang merah di mana ia melambangkan keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian menempuh cabaran.
Pada tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mengemukakan tujuh jenis bunga untuk pemilihan iaitu ; bunga kenanga, bunga raya, bunga melur, bunga teratai, bunga mawar, bunga cempaka dan bunga tanjung.

Erti Kemerdekaan...

"...Merdeka bukanlah suatu benda yang mudah boleh didapati, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu iaitu pengorbanan yang sebenar pengorbanan..."

(Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia 1957 - 1970)
....................................................................

"...Hari Merdeka ialah Hari Kebangsaan kita. Marilah kita membanggakan negara kita dan sentiasa berjaga-jaga supaya tidak dipengaruhi oleh fahaman kebangsaan yang sempit. Jika fahaman kebangsaan yang sempit itu dibiarkan hidup dengan perasaan yang meluap-luap maka sifat bertolak ansur dan tali persahabatan kita dengan negeri-negeri lain yang bebas akan terkecewa. Dengan demikian terganggulah keamanan dan ketenteraman dunia."

(Tun Abdul Razak Dato' Hussein, Perdana Menteri Malaysia 1970 - 1976)
....................................................................

"Masa depan ekonomi negara tidak akan membawa apa-apa makna jika keselamatan tidak terjamin, keselamatan adalah teras keutuhan ekonomi dan kestabilan politik."

(Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia 1976 - 1981)
....................................................................

"...Bukan kecil tugas kita meneruskan perjuangan kemerdekaan kita kerana rupanya selain memerdekakan, mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara..."

"Kita perlu mendisiplinkan diri kita dan meneruskan perjuangan kita untuk menjamin kebahagiaan negara. Kita mesti giat serta kemampuan untuk menjadikan diri kita sebagai rakyat yang cintakan negara dengan segala pengorbanan dicurahkan bagi kebahagiaan negara dan masa depannya. Biarlah setiap Hari Kebangsaan kita mencatit kejayaan yang boleh dibanggakan terhadap Malaysia yang kita sayangi ini."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia 1981 - 2003)
...................................................................

"Mungkin untuk kebanyakan daripada kita, adalah sukar untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan memandangkan lebih 75 peratus daripada rakyat Malaysia lahir selepas 31 Ogos 1957. Kerana itu, adalah hampir mustahil untuk anda membayangkan pahit getirnya hidup dijajah dan bagaimana jerih payahnya usaha generasi terdahulu untuk mendapatkan kemerdekaan. Justeru, marilah kita bersama-sama menilai erti kemerdekaan dengan cara yang berbeza, supaya kita dapat menghayati nilai kebebasan yang dikecapi."

(Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia 2003 - 2009)

Influenza A (H1N1)

Menurut sumber dari Malaysiakini, angka kematian disebabkan H1N1 sehingga ke petang semalam (17 Ogos 2009) sudah menjangkau angka 64 orang - satu perkara yang membimbangkan rakyat Malaysia khususnya.
.
Langkah-langkah pencegahan perlu diambil dengan segera, dan berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil bagi mencegah daripada dijangkiti Influenza A (H1N1) :
.
1. Tangguhkan lawatan ke negara-negara yang dilanda wabak H1N1
2. Jika lawatan itu tidak dapat dielakkan, kenal pasti kawasan wabak yang mengalami kes H1N1 yang tinggi
3. Elak melawat tempat-tempat yang sesak
4. Elak bersentuhan dengan pesakit positif H1N1. Jika terpaksa berdampingan dengan pesakit, gunakan alat perlindungan pernafasan yang sesuai.
5. Jaga kebersihan diri sepanjang masa dengan kerap basuh tangan dengan air dan sabun terutamanya selepas bersin atau batuk
6. Gunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Buang tisu dalam tong sampah
7. Jika jatuh sakit atau mempunyai gejala demam, batuk, sesak nafas, sakit tekak, sakit kepala dan sakit badan, segera dapatkan rawatan doktor
8. Maklum kepada doktor yang merawat jika baru pulang dari negara atau kawasan yang dilanda H1N1
9. Individu yang disahkan positif H1N1 termasuk bersentuhan kepada pesakit perlu melaksanakan tindakan kuarantin tujuh hari
10. Ibu bapa atau penjaga perlu memastikan anak-anak yang mempunyai gejala penyakit serupa Influenza (ILI) supaya tidak hadir ke sekolah
11. Mereka yang mengalami simptom ILI dinasihatkan melaksanakan pengasingan sosial dengan tidak menghadiri majlis-majlis terbuka
12. Orang ramai yang mempunyai tanda-tanda demam, selsema, batuk, sakit tekak dinasihatkan sentiasa memakai penutup mulut ketika berada di tempat awam

Monday, August 17, 2009

UNGKAPAN PERDANA

"Orang Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum yang hendak menumpukan taat setia dan tinggal bersama serta menumpu dan menumpahkan darah serta bekerja membanting tulang di negeri ini, tinggallah dengan baik antara satu dengan lain kerana negeri ini adalah berlainan dengan mana-mana negeri yang ada di dunia ini"
Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj
..........................................................................
"Rakyat negara yang berbilang kaum yang sebahagian besarnya golongan belia merupakan kekayaan tenaga manusia yang mana kalau digembleng dalam satu barisan yang bersatu padu membolehkan kita mencapai cita-cita nasional dengan sepenuhnya"
Tun Abdul Razak Dato'Hussein
..........................................................................


"Adalah tidak mustahil pendapat dan fahaman kita sentiasa tidak berbeza. Apa yang penting ialah pendapat dan fahaman yang berbeza itu tidak diperbesar-besarkan sehingga membawa pecah belah di kalangan rakyat berbilang keturunan"
Tun Hussein Dato'Onn
..........................................................................

"Persefahaman dan hubungan baik ini hanya akan dapat dicapai jika kita semua iaitu semua kaum di Malaysia bersifat sederhana dan sanggup bercampur gaul semasa bekerja, bermain dan dalam aktiviti sosial kita"
Tun Dr. Mahathir Mohamad
........................................................................

"Amatlah rugi kepada negara bangsa jika kita terlalu taksub untuk berselisih. Bangsa perlu satu kekuatan sejati. Orang Melayu begitu juga warga Malaysia keseluruhannya telah berada di pelantar yang lebih tinggi dari dahulu"
Tun Abdullah Ahmad Badawi
........................................................................

"Saya yakin dengan semangat bersatu, kita mampu berpendapat dengan persekitaran yang sukar dan mencabar ini, seperti yang pernah kita lalui bersama dalam beberapa krisis terdahulu"
Dato'Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak

SEMARAK MERDEKA JALUR GEMILANG PERINGKAT DAERAH KLUANG- Bhgn. 1

Sempena menyambut bulan kemerdekaan negara yang ke-52, Jabatan Penerangan Daerah Kluang dengan kerjasama Komuniti Bestari dan Jawatankuasa Penduduk Kg. Sri Lalang, Mukim Kluang telah menganjurkan program Semarak Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kluang bertempat di Dewan MCA Sri Lalang, Kluang.

Antara pengisian dalam program tersebut adalah pertandingan mewarna oleh kanak-kanak tadika, larian singkat Jalur Gemilang di sekitar pekan Sri Lalang ke Dewan MCA Sri Lalang, nyanyian lagu-lagu patriotik, persembahan kebudayaan, deklamasi sajak, kuiz kenegaraan dan seterusnya majlis perasmian yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia En. Mohamed Iqbal bin Ibrahim, Penolong Pengarah Cawangan KPK, Jabatan Penerangan Negeri Johor.

PPD Kluang, En. Abd. Razak dan Ketua PMR Kluang, Rn. Koh Peng Wong bergambar bersama JAV, En. Aun dan peserta Semarak Merdeka di hadapan Dewan MCA Sri Lalang

Perarakan singkat di sekitar Pekan Sri Lalang dengan pembawa Jalur Gemilang yang terdiri dari 3 bangsa - Melayu, Cina dan India

Perarakan sambil mengibar Jalur Gemilang

Peserta konvoi bermotosikal yang turut sama dalam Larian Singkat Jalur Gemilang

Nyanyian lagu patriotik oleh kanak-kanak tadika

Nyanyian lagu patriotik dengan penuh semangat dari peserta yang hadir

Barisan anggota pertahanan yang turut sama memeriahkan program - RELA dan Polis DiRaja Malaysia

Nyanyian lagu patriotik.
Antara VIP yang hadir - En. Abd. Razak (PPD Kluang), En. Mohamed Iqbal (Pen. Pengarah), En. Afandi (Penghulu Kanan) dan En. Wong Fook Onn (Pengerusi Persatuan Penduduk Kg. Sri Lalang)

Antara yang hadir

Semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh penduduk berbilang bangsa
pertandingan mewarna yang disertai oleh kanak-kanak tadika