Tuesday, March 23, 2010

RM85.5j bina empangan di Kahang

Kerajaan negeri bercadang membina empangan baru di Kahang, Kluang bagi mengatasi masalah kekurangan air pada musim kemarau di daerah ini, membabitkan kos RM85.5j.

Pengerusi Jawatankuasa KPerdagangan Antarabangsa dan Industri Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar negeri, Tan Kok Hong berkata cadangan berkenaan sudah dikemukakan di bawah RMK-10.

Menurutnya, selepas disiapkan, Empangan Kahang mampu menghasilkan tambahan sumber air mentah pada kadar 134 juta liter sehari.

"Kerja pembinaan empangan berkenaan jika diluluskan akan bermula pada 2013." katanya.

Beliau berkata, selain pembinaan empangan baru, empangan sedia ada seperti di Sembrong akan dipertingkatkan kapasiti takungannya daripada 8.5 meter hingga 9.5 meter yang mampu menghasilkan kapasiti 25 juta meter padu air berbanding 18 juta meter padu ketika ini.

Menurutnya, Empangan Sembrong sebagai tebatan banjir dan sumber air mentah ke daerah Kluang akan dinaik taraf menerusi pembinaan alur limpah tambahan dengan kos kira-kira RM4j dan pembinaan akan bermula pada awal 2012.

"Untuk mengatasi masalah kekurangan air sungai pula, satu cadangan pembinaan pintu air 'inflatable rubber dam' di Loji Air Sembrong Timur turut dikemukakan membabitkan kos RM4j dan dirancang pembinaannya pada awal 2012."

Mengenai masalah kekurangan air ketika Sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, Kok Hong berkata, pihak SAJ terpaksa mencadangkan pembekalan air secara berjadual di daerah Kluang bermula 13 Februari selepas mengambil kira faktor teknikal dan operasi pengeluaran bekalan air.

Beliau berkata, Fenomena El-Nino yang melanda negara sejak Jun tahun lalu menyebabkan takungan air serta paras sungai mengalami penurunan ketara dan memberi kesan kepada bekalan air terawat.

"Pada 4 Februari, paras air Sungai Sembrong berada pada paras 0.8 meter dan Loji Air Sembrong Timur masih dapat beroperasi seperti biasa tetapi pada 11 Februari, paras air merosot ke tahap 0.3 meter berbanding paras kritikal 0.5 meter dan terus menurun."

"Dari segi teknikal, loji bermasalah ialah di Sembrong Timur yang menerima air secara terus dari Sungai Sembrong dan mengikut trend semasa pada musim perayaan, penggunaan air akan meningkat sehingga 300 peratus," katanya.

No comments:

Post a Comment