Thursday, November 19, 2009

4 pelajar sesat ditemui selamat

DARI kiri, Nurul Afiqah Zulkiflee, Normayzurah Nor Salam, Nor Fazlin Mohd. Zin dan Meor Shahidan Meor Azman yang sesat di Gunung Lambak, Kluang dan berjaya diselamatkan semalam.
KLUANG 18 Nov. - Empat pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Sultan Abdul Jalil (SSAJ) di sini, yang sesat hampir 24 jam semasa mendaki Gunung Lambak setinggi 510 meter ditemui petang ini.
.
Mereka yang terdiri daripada seorang pelajar lelaki dan tiga perempuan ditemui dalam keadaan lemah oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada pukul 1.35 petang.
.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kluang untuk mendapat rawatan sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
.
Mereka yang berusia 13 tahun ialah Meor Shahidan Meor Azman dari Taman Indah Jaya Kluang, Normayzurah Nor Salam dari Kampung Melayu, Nor Fazlin Mohd. Zin dan Nurul Afiqah Zulkiflee, kedua-duanya dari Taman Okid di sini.
.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah Kluang, Abdul Razak Mohd. Salleh berkata, para pelajar berkenaan mendaki gunung tersebut kira-kira pukul 10 pagi semalam.

"Pendakian tidak diiringi sesiapa kerana aktiviti tersebut bukan anjuran sekolah, tetapi atas inisiatif mereka," katanya.
Kumpulan pelajar berkenaan menyedari mereka tersesat semasa dalam perjalanan turun kira-kira pukul 2 petang dan sempat menghubungi polis dan keluarga masing-masing.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Kluang berkata, gerakan mencari dan menyelamat dilakukan mulai pukul 4 petang setelah mereka gagal dihubungi kerana telefon bimbit mangsa kehabisan bateri.

"Pasukan penyelamat membabitkan 60 anggota yang terdiri daripada tentera, PGA, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Rela, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Hutan," katanya.
Abdul Razak berkata, gerakan mencari dijalankan bergilir-gilir sejak semalam sehingga kumpulan pelajar itu ditemui di pertengahan gunung yang menghala ke Kampung Datuk Abdul Rahman Yassin petang ini.

Dalam pada itu, beliau melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam usaha mencari itu sehingga berjaya menemui para pelajar berkenaan.

"Saya juga gembira kerana semua pelajar berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan kecuali kelaparan kerana tidak makan hampir 24 jam," katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor, Senator Sharifah Azizah Syed Zain yang turut berada di pusat gerakan mencari dan menyelamat itu mengingatkan semua pelajar yang ingin mendaki gunung agar pergi secara berkumpulan.

Selain itu, pihak sekolah juga dikehendaki sentiasa memberikan penerangan mengenai aspek keselamatan kepada pelajar mereka yang ingin mengadakan aktiviti di luar sekolah.

"Pelajar perlu membawa bekalan yang mencukupi serta alat perhubungan seperti telefon bimbit untuk membolehkan mereka berhubung dengan pihak berkuasa jika sesat," katanya.

No comments:

Post a Comment