Tuesday, November 24, 2009

Pentingnya mengambil makanan yang berkhasiat

Kesihatan diri merupakan harta yang paling berharga namun ramai yang tidak menyedarinya sehingga ditimpa sesuatu penyakit. Ramai juga yang tidak menyedari akan peranan mengambil makanan yang berkhasiat untuk memastikan kesihatan yang baik.
Punca utama serangan penyakit-penyakit berbahaya seperti kanser dan penyakit jantung ialah kerana tidak memakan makanan yang sempurna dan kurang memakan makanan yang berkhasiat.
Corak pengambilan makanan yang teratur sepatutnya dimulakan sejak awal lagi. Pepatah ada mengatakan, "Diri Anda Ialah Apa Yang Anda Makan" dan kenyataan ini benar dalam soal kesihatan. Corak pemakanan menentukan keadaan kesihatan kita kerana diet yang tidak teratur memburukkan kesihatan.
Seorang Pakar Pemakanan dari Amerika Syarikat, Frances M Lappe berkata rakyat di negaranya mempunyai diet yang tidak menyihatkan. Dalam bukunya Diet for a Small Planet beliau berkata penduduk negara itu memakan terlalu banyak daging, lemak, gula, alkohol, bahan penambah, tetapi kurang memakan makanan berserat.
Tabiat ini juga mulai merebak di kalangan rakyat Malaysia yang pada umumnya memakan kian banyak makanan berproses. Adakah anda salah seorang dari mereka? Adakah diet anda mempunyai ciri-ciri berikut?
Terlalu banyak lemak dan kolestrol
Makanan seperti daging, telur dan hasil tenusu seperti mentega dan keju merupakan sumber protein, vitamin dan galian yang baik tetapi ia juga mengandungi banyak lemak dan kolestrol.
Lemak boleh menyebabkan kegemukan, mendorong serangan jantung dan meningkatkan risiko serangan kanser sementara kolestrol menjadi punca utama sakit jantung.
Makanan berproses seperti snek seperti kentang goreng dan kerepek juga mengandungi banyak lemak dan kolestrol begitu juga dengan makanan jualan penjaja.
Terlalu banyak gula
Makanan yang diproses dan makanan manis seperti kek coklat dan aiskrim mengandungi banyak gula yang memberikan sejumlah besar kalori tanpa khasiat makanan atau serat.
Kehadiran gula juga menggantikan makanan yang berkhasiat dan menyingkirkan beberapa vitamin dan galian dalam tubuh.
Memakan gula yang berlebihan bermakna anda menanggung risiko kerosakan gigi, kegemukan dan masalah-masalah lain yang dikaitkan dengannya seperti kencing manis, serangan jantung dan sebagainya.
Terlalu banyak garam
Makanan segera, makanan dalam tin, daging yang diawet dan makanan ringan bergaram seperti kentang goreng, mengandungi banyak garam.
Memakan terlalu banyak garam boleh menyebabkan tekanan darah tinggi yang akhirnya boleh membawa kepada serangan jantung atau strok.
Sesetengah orang mungkin menghadapi terlalu banyak air di bawah kulit (edema).
Terlalu sedikit serat
Tanpa pengambilan serat, makanan mengambil masa antara 70-80 jam untuk melalui saluran penghadaman. Mengurangkan masa yang diambil makanan itu dapat melindungi daripada serangan kanser usus besar dan rektum dengan mencairkan bahan beracun yang terdapat dalam usus besar dan mempercepatkan pengeluarannya dalam tubuh.
Setiap manusia mempunyai keperluan yang berbeza, oleh itu anda harus menentukan sendiri apa yang terbaik untuk diri anda. Untuk memastikan jika anda makan berlebihan, anda mungkin perlu menimbang berat badan dari masa ke semasa atau perhatikan samada terdapat sebarang perubahan ketika berpakaian iaitu samada pakaian semakin sendat atau ketat atau tetap seperti biasa.
Kita perlu mengimbangi tenaga (makanan) yang kita perolehi dengan tenaga yang digunakan untuk kegiatan seharian. Jika anda berkejar ke sana ke sini sepanjang hari, bererti anda telah menggunakan lebih banyak tenaga berbanding jika anda hanya duduk sepanjang masa. Jika anda memakan melebihi keperluan tubuh, maka lebihan makanan itu akan tersimpan sebagai lemak.
Diet anda menetukan keadaan kesihatan anda sebagaimana pepatah di atas. Oleh itu penting bagi anda mengamalkan tabiat makan yang baik dari peringkat muda lagi. Pengambilan herba, makanan kesihatan, atau ubatan juga mampu memberi sumber vitamin yang diperlukan badan kita. Makanan dan udara kita tercemar dengan racun dan juga toksin jadi pengambilan sumber makanan kesihatan yang mampu menyingkirkan toksin dari badan amat perlu supaya kesihatan kita dalam keadaan yang baik. Kesihatan yang baik amat berharga dari emas dan harta.

No comments:

Post a Comment