Wednesday, October 7, 2009

Daftar Keahlian Laman Komuniti Sembrong

KLUANG 5 Okt. - Masyarakat Sembrong termasuk pelajar yang menetap di luar kawasan tersebut disarankan mendaftar dan menjadi ahli 'Laman Komuniti Sembrong' yang boleh dilayari menerusi http://www.sembrong.my/.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia membolehkan mereka menjadikan laman itu platform untuk berhubung dan mengeratkan silaturahim serta perpaduan tanpa mengira kaum, agama, taraf sosial dan usia.
''Ia mengandungi pelbagai perkara yang dapat kita kongsi termasuk aspek pembangunan seperti perkembangan pembangunan infrastruktur, pelancongan, urusan perniagaan dan aktiviti harian di kawasan Sembrong," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan laman tersebut sempena Perjumpaan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Sembrong yang dihadiri lebih 20,000 orang, di Felda Ulu Penggeli di sini, semalam.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, Sembrong dibina daripada komuniti yang bercirikan pelbagai kaum dan keunikan itu perlu dikongsi bersama dengan semangat untuk terus mempertahankan segala yang telah dibina itu.
'
'Masyarakat di sini boleh menyuarakan pandangan tentang pelbagai perkara dan idea untuk bersama-sama mencari jalan meningkatkan taraf hidup dan pembangunan Sembrong menerusi laman ini," katanya.
Selain itu, menurutnya, para peniaga dan usahawan pula boleh menggunakan laman itu untuk mengiklankan perniagaan mereka sama ada berbentuk produk atau perkhidmatan.

No comments:

Post a Comment