Friday, October 2, 2009

Tabung Kecemasan Untuk Situasi Tidak Dijangka


Dalam hidup ini, kita perlu selalu menjangka perkara yang tidak dijangka. Atas alasan inilah anda perlukan tabung kecemasan. Cara terbaik yang boleh anda lakukan adalah untuk bersedia sebelum waktunya.
..........................................................
Kecemasan kewangan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti kehilangan kerja, perbelanjaan perubatan, pembaikan kereta, rumah atau pelbagai perkara yang tidak pernah anda jangkakan. Perkara terakhir yang anda mahu buat adalah terpaksa bergantung pada kad kredit atau pinjaman yang akhirnya akan memburukkan lagi masalah yang sedang dihadapi. Kebanyakan pakar bersetuju bahawa anda perlu menyimpan antara tiga hingga enam bulan jumlah wang perbelanjaan ke dalam tabung kecemasan. Bergantung pada situasi dan sama ada anda mempunyai anak atau tidak, hutang dan jenis perlindungan insurans akan menentukan jumlah yang baik buat anda.
..........................................................
Sebab mengapa anda perlu mempunyai tabung kecemasan adalah bagi memenuhi keperluan jika tiba-tiba anda hilang punca pendapatan. Bayangkan, jika anda atau suami kehilangan kerja dan masih mempunyai bil untuk dibayar, sudah pasti masa berbulan diperlukan bagi mencari pekerjaan baru. Pada masa inilah tabung kecemasan yang anda miliki berguna bagi membantu anda meneruskan kehidupan sementara mencari kerja baru.
..........................................................
Jika pada masa sekarang anda tidak mempunyai tabung kecemasan atau mendapati sukar untuk menyimpan wang, cara yang paling baik adalah bermula kecil. Anda perlu sedar bahawa mengumpul jumlah wang untuk perbelanjaan akan mengambil sedikit masa. Bayangkanlah untuk mengumpul wang perbelanjaan selama tiga hingga enam bulan. Jjika anda menetapkan matlamat segera secara kecil dan boleh diuruskan, anda akan mempunyai peluang untuk mencapainya dengan mudah.
.........................................................
Cara terbaik untuk bermula boleh dilakukan dengan cara menyimpan melalui bank. Jika anda tidak mempunyai akaun bank, segeralah membuka sebuah buku akaun simpanan Langkah seterusnya adalah untuk menjadikan tabiat menyimpan wang ke dalam akaun secara tetap. Sama ada menyimpan setiap minggu atau bulan, guna jadual dan ikutlah jadual dengan keazaman yang kuat. Sekali anda membuat simpanan automatik ini, anda sudah pasti tidak perlu berfikir panjang lagi.
.........................................................
Jika anda rasakan amat sukar untuk anda memulakan menyimpan wang dengan jumlah yang kecil, mungkin anda boleh bermula dengan menyimpan RM10 seminggu. Mungkin jumlah ini tidak akan menjadi banyak dengan cepatnya tetapi apa yang pentingnya adalah mula untuk menyimpan dan menjadikannya sebagai "tabiat" dan kemestian. Selepas beberapa minggu, anda tidak akan sedar akan "kehilangan" wang sebanyak RM10. Jadi mungkin anda boleh menambah simpanan kepada RM15 atau RM20 selepas beberapa bulan atau lebih. Anda akan mula terbiasa dengan cara ini dan boleh menaikkan jumlah simpanannya lagi.
..........................................................
Anda seharusnya bermula dengan buku simpanan kerana ia cara yang mudah dan selalunya tidak mengenakan sebarang bayaran pun, kecuali anda perlu memasukkan ke dalam akaun simpanan. Apa yang penting kini adalah apabila anda memulakan sesuatu.
..........................................................
Seiring dengan masa, wang simpanan anda akan bertambah. Pada masa inilah anda mahu mencari satu lagi akaun yang boleh memberi anda wang tambah atau faedah supaya wang anda bekerja pula untuk anda. Langkah terbaik seterusnya adalah untuk melihat kepada akaun pasaran wang atau sijil simpanan.
..........................................................
Adalah penting untuk menyimpan tabung kecemasan ini di tempat yang mudah supaya anda boleh mengambil wang dengan cepat apabila berlaku sebarang kecemasan. Anda juga tidak mahu wang yang anda simpan itu terikat dalam saham atau unit amanah kerana pasaran yang tidak tetap boleh menyebabkan anda kehilangan wang dalam jangka pendek.

No comments:

Post a Comment