Thursday, October 22, 2009

KLUANG...



ASAL USUL PEMBUKAAN KLUANG...

Orang-orang tua di Kluang bersependapat bahawa nama bandar ini terbit daripada nama sejenis mamalia yang terbang di waktu malam mencari buah-buahan, iaitu kluang ataupun Malayan Flying Fox (Fteropus Vampyrus Linnaeus) dianggap sebagai sejenis kelawar yang terbesar di dunia. Ada juga cerita yang mengisahkan begitu banyak sekali jumlah binatang yang menyerang kebun buah-buahan sehingga terpaksa dipanggil dukum bagi menghalau mereka, tetapi cerita ini tidak dapat disahkan oleh orang-orang lama di sini. Yang jelas sebuah perkampungan bernama Kluang Kampung telah wujud sebelum tahun 1910 berdekatan bandar Kluang ini. Kehadiran kelawar-kelawar besar ini mungkin disebabkan oleh penebangan hutan di tengah-tengah johor bagi tujuan membina jalan kereta api dan juga penempatan di Kluang.

Menurut Datuk Haji Mohd Said, seorang tokoh penulisan Johor yang terkenal, Kluang mendapat namanya daripada Sungai Kluang, tetapi pada hakikatnya tidak ramai orang yang tahu adanya sungai ini di Kluang. Sungai Melantai kadang-kala dipanggil sedemikian keranan melintasi Kluang Kampung. Dalam peta topo moden tercatat nama Sungai Kluang pada sebuah cawangan Sungai Mengkibol yang berpunca dari kaki bukit Gunung Lambak.

Orang jakun ataupun biasa dipanggil orang Ulu oleh orang Melayu Endau merupakan penghuni kawasan hutan rimba di pedalaman Johor ini. Hanry Kale yang telah menjelajahi kawasan ini telah menyusuri Sungai Endau, Sembrong, Seiai, Kahang dan cawangannya bersama rombongannya pada tahun 1892 dalam rangka menetapkan sempadan antara Johor dengan Pahang.

Lake dan pembantunya HI Kelsal telah menemui orang jakun bekerja dengan orang Melayu Endau dalam usaha mencari rotan terutamanya dari jenis Sentawa, kapur barus di kawasan Kahang, gutta perca (getah taban) danar dan hasil hutan yang lain. Hasil rotan di bawa ke Endau dan daripada situ dijual di Singapura.

Mereka juga menyatakan bahawa telah terdapat penempatan-penempatan orang Melayu di tebing sungai Sembrong-Endau dan Kahang di mana penghulunya bernama Che Ma Hassain ( Encik Mat Hussain ) banyak membantu Lake dan rakan-rakannya. Menurut Lake lagi , sebuah penempatan bernama Londang 75 km daripada stesen kerajaan di Kuala Sembrong didiami oleh Penghulu Che Ma Dagang bersama-sama beberapa orang Melayu. Londang terletak berhampiran bandar Kluang lebih kurang 10 km ke utaranya di pertemuan Sungai Paloh dan Sungai Melantai-Mengkibol dengan Sungai Sembrong. Kawasan di antara Londang dengan kawasan Sungai Melantai (Meletir) ialah kawasan bandar Kluang sekarang ini. Ia tidak didiami orang kecuali beberapa orang jakun yang merayau-rayau di sini. Terdapat juga sebatang lorong hutan yang menghubungi kawasan ini dengan kawasan Sembrong Batu Pahat yang sudah pun diterokai oleh pekebun-pekebun gambir dan lada hitam Cina. Oleh itu, pada tahun 1892 belum wujud lagi sebuah penempatan bernama Kluang jika berpandukan kepda pemerhatian Lake dan Kelsall. Lake juga menyebut bahawa 'trace' jalan kereta api Johor merentasi kawasan berpaya ini.

Penanam-penanam gambir Teochew yang telah membuka kangkar-kangkar di sungai-sungai Johor, Sungai Skudai, Sungai Sedih Sungai Sembrong, Sungai Batu Pahat Sungai Muar dan lain-lain nampaknya tidak berminat mendirikan kangkar di kawasan yang dibincangkan ini kerana masih diliputi hutan dan paya tropika yang tebal. Penempatan paling hampir, dibuka sebelum 1893 ialah kawasan pinggiran di Sungai Sembrong-Batu Pahat.

Di Sungai Kahang terdapat sebuah kangkar yang dipercayai didirikan kemudian daripada tahun 1893. Bagaimanapun di sekitar tapak bandar Kluang sudah terdiri penempatan-penempatan kecil didiami orang Melayu dan jakun yang berfungsi sebagai pengkalan memungut hasil hutan terutamanya rotan yang dikenali sebagai Londang dan Pengkalan Pan. Tempat terakhir di sebelah tebing kanan Sungai Sembrong, 20 km dari Kuala Kahang di mana Lake telah menemui seorang peniaga Cina dan beberapa orang Melayu.

Pembukaan Kluang berhubung rapat dengan usaha pembinaan jalan kereta api Johor. Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NMB) di bawah Swetthenham ketika itu bercadang menyambung sistem kereta api Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) dengan Singapura. Menjelang penghujung abad ke-19 jalan kereta api dari Kuala Lumpur sedang dibina merentasi sempadan Johor, sementara di Singapura cadangan membina jajaran landasan ke Selat Tebrau telah diluluskan. Oleh kerana terdapat sedikit masalah tentang siapakah yang harus menguasai jalan kereta api ini, maka pada tahun 1904 satu persefahaman kereta api diwujudkan yang melibatkan penguasaan bersama di bawah satu lembaga yang terdiri daripada pegawai-pegawai jahar dan NMB. Pada 1909 jalan kereta api johor dibuka untuk laluan. Kdth Sinclair berpendapat bahawa pembinaan landasan ini telah membawa banyak kesan perubahan, termasuk penghijrahan tenaga buruh dari ladang-ladang getah ke kawasan pembinaan jalan kereta api kerana kadar upah yang ditawarkan oleh kontraktor-kontraktor jalan kereta api lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh pihak ladang.

Dengan terbinanya jalan kereta api ini, kawasan-kawasan di utara dan tengah Johor mula dihujani kemasukan modal luar terutamanya dari Negeri-negeri Selat dan Britain. Harga getah yang semakin meningkat naik dan memuncak pada tahun 1910,mendorong syarikat-syarikat getah melabur dan mendapatkan konsesi tanah bagi tujuan menanam getah. Tambahan pula, stesen-stesen kereta api kecil telah didirikan sepanjang perjalanan dari utara ke selatan. Ini termasuklah stesen-stesen Batu Anam, Segamat, Labis, Paloh, Chamek, Niyor, Mengkibol, Rengam, Layang-layang, Kulai, Tebrau dan terminal utamanya di Johor Bahru.

Memandangkan tanah hutan di sekitar Mengkibol sedang diusahakan bagi penanaman getah maka NMB bercadang untuk membina sebuah stesen kereta api di kawasan tersebut dalam tahun 1910. Cadangan ini dipersetujui oleh pihak Berkuasa di Johor Bahru dan dengan demikian stesen kereta api yang dinamakan Stesen Kluang siap dibina pada tahun berikutnya.

Pada tahun 1910 juga sistem pemilikan tanah telah disesuaikan dengan sistem tanah NMB apabila Enakmen Tanah Johor dikuatkuasakan sejajar dengan matlamat kerajaan Johor memodenkan jentera pentadbiran tanah dan bagi menarik pelaburan ke Johor. Kerajaan juga menawarkan sewa dan premium tanah yang rendah kepada pengusaha-pengusaha. Bagi 6 tahun yang pertama sewa tahunannya ialah 50 sen seekar selanjutnya $ 2.50 setahun dengan mendapat rebet $1.50 untuk tanah yang ditanam dengan kelapa dan pokok buah-buahan. Premium ialah $3.00 seekar sekiranya tanah menghadap jalan raya dan $2.00 sebaliknya.

Orang Melayu yang terawal memohon tanah di Kluang terdiri daripada Penghulu Dollah Ariff dengan anak buahnya daripada Kluang Kampung. Penghulu dipercayai mewakili anak buahnya yang berasal dari keturunan Inderagiri yang juga dari Endau. Semua permohonan mereka diluluskan kerana menurut pihak berkuasa mereka ini memang telah lama menetap di kawasan tersebut. Boleh dikatakan bahawa mereka merupakan antara penghuni-penghuni yang terawal di Kluang. Keturunan mereka yang masih menetap di Kluang menyatakan bahawa kebanyakan mereka berasal dari sebuah penempatan bernama Tanjung Gemuk di Endau dan Inderagiri adalah baik dan dirapatkan lagi melalui ikatan perkahwinan. Rekod Commissioner Of Laild And Mines (CLM) menunjukkan orang Cina adalah kumpulan yang memulakan kegiatan berkebun di sini. Mereka mendapatkan tanah di sekitar stesen Mengkibol dan Nyior tidak jauh dari Kluang. Di antara taukeh-taukeh ini ialah Goh Yew Sing, Lew Lye Sang dan Leong Fong Chew dari Singapura yang membeli tanah seluas 1,200 ekar di Nyior. Taukeh Yow Ngan Pan telah memohon tanah seluas 2,000 ekar di Mengkibol. Pada tahun berikutnya Yeo Kim Swee dari Riverside, Melaka telah mengusahakan penanaman getah dan ubi kayu di tempat yang sama.

Dalam tahun 1911 juga sebuah balai polis telah didirikan bagi mempertingkatkan perkhidmatan polis di Kluang di samping mengawal keselamatan memandangkan semakin ramai buruh-buruh yang bekerja menebang dan membersihkan hutan di Kluang bagi membina jalan antara Batu Pahat dengan Mersing. Untuk kemudahan pegawai-pegawai kerajaan dan pengusaha-pengusaha ladang getah Eropah sebuah 'Rest House' didirikan berhampiran stesen Kereta api Kluang. Oran-orang Cina pula telah mula mendirikan kedai-kedai atap dan beberapa orang Melayu telah menyewakan rumah-rumah kedai ini kepada peniaga Cina.

No comments:

Post a Comment