Friday, October 2, 2009

Masyarakat Orang Asli sentiasa dibantu – Asiah

KLUANG 1 Okt. – Kerajaan negeri Johor tidak pernah mengabaikan kehidupan masyarakat Orang Asli walaupun mereka berada di kawasan pedalaman yang sukar dikunjungi masyarakat bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Asiah Md. Ariff berkata, sebaliknya nasib mereka akan terus dibela oleh kerajaan dari semasa ke semasa.
“Ini untuk memastikan masyarakat Orang Asli juga dapat hidup dalam keadaan selesa sama seperti masyarakat lain,” katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Johor di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Mohd. Sani Mistam dan Pengarah JHEOA Johor, Mohd. Shahnaz Yazid.
Asiah berkata, banyak kemudahan dan pembangunan dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu meningkatkan taraf hidup Orang Asli sejak negara mencapai kemerdekaan.
“Ini termasuk pembinaan rumah, jalan dan menyalurkan bekalan air bersih dan elektrik,” katanya.
Selain itu, kata beliau, kerajaan Pusat juga menyediakan peruntukan khas setiap tahun untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan bagi kepentingan masyarakat Orang Asli.
sumber : Utusan Malaysia, 3hb. Oktober 2009

No comments:

Post a Comment